Mantan Pengerusi TH direman 2 hari bantu siasatan kes tipu berkaitan hibah
Mantan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Abdul Azeez Abdul Rahim, serta dua mantan pegawai atasan institusi itu direman selama dua hari bermula Rabu (9 Sep) bagi membantu siasatan kes tipu berkaitan pemberian hibah TH.
Abdul Azeez Abdul Rahim. (Gambar: BERNAMA)
- Abdul Azeez Abdul Rahim bersama dua mantan pegawai atasan Tabung Haji direman dua hari bermula 9 September bagi siasatan kes tipu berkaitan hibah TH.
- Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas permohonan polis, melibatkan mantan CEO dan CFO TH.
- Abdul Azeez turut didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan jawatan dan meluluskan pelaburan RM193.5 juta dalam sebuah syarikat, 12 tahun lalu.
- Sebelum ini, beliau pernah direman tujuh hari bersama mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan susulan pendedahan laporan RCI mengenai pengurusan TH.
Dua mantan pegawai tersebut ialah mantan ketua pegawai eksekutif dan mantan ketua pegawai kewangan kumpulan TH.
Peguam Amer Hamzah Arshad berkata perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mohamad Afiq Zuber di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, selepas permohonan dibuat pihak polis.
Ketiga-tiga individu itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan pemberian hibah Tabung Haji.
Abdul Azeez hadir ke Bukit Aman pada Selasa (8 Sep) selepas dimaklumkan mengenai siasatan tersebut.
Selepas prosiding reman, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat dan meyakinkan Lembaga TH agar meluluskan cadangan pelaburan RM193.5 juta (S$60 juta) dalam syarikat itu, 12 tahun lalu.
Sebelum ini, Abdul Azeez direman selama tujuh hari, dari 27 Ogos hingga 2 September 2026, bersama mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membantu siasatan susulan pendedahan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.