Skip to main content

Dunia

Mantan Menteri Sumber Manusia Malaysia didakwa kerana terima rasuah RM1.097 juta

Mantan Menteri Sumber Manusia Malaysia M. Saravanan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat (28 Ogos) atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta (S$346,000) berhubung kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi sebuah syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Menteri Sumber Manusia Malaysia didakwa kerana terima rasuah RM1.097 juta

Mantan Menteri Sumber Manusia Malaysia M. Saravanan berkhidmat dalam jawatan itu dari 2020 hingga 2022. (Gambar fail: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 28 Aug 2026 02:29PM
  • M. Saravanan, mantan Menteri Sumber Manusia dan Timbalan Presiden MIC, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan rasuah berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing.
  • Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM450,000, serta diarahkan melapor diri kepada SPRM dan tidak mengganggu saksi sepanjang perbicaraan.
  • Tuduhan melibatkan penerimaan wang daripada Pengarah Vectica Resources melalui perantara untuk meluluskan permohonan TYKB Engineering Sdn Bhd pada tahun 2022 di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.
  • Saravanan menafikan tuduhan, mendakwa dirinya tidak terlibat secara peribadi dalam pengambilan pekerja asing, dan bertekad membersihkan nama; sebutan semula kes ditetapkan pada 29 September 2026.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Sumber Manusia Malaysia M. Saravanan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat (28 Ogos) atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta (S$346,000) berhubung kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi sebuah syarikat.

Saravanan, 58 tahun, yang juga Timbalan Presiden Kongres India Malaysia (MIC), mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi tuduhan pertama, Saravanan dipercayai menerima suapan RM150,000 (S$47,300) daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, melalui Syed Amirul Syed Ahmad di Bukit Jalil Golf & Country Resort pada 16 Jun 2022.

Bagi tuduhan kedua, dia dipercayai menerima RM350,000 (S$110,300) daripada individu sama, juga melalui Syed Amirul, di Bangsar pada 7 Julai 2022.

Sogokan itu dipercayai sebagai upah kepada Saravanan, yang ketika itu Menteri Sumber Manusia, untuk meluluskan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd.

Bagi tuduhan ketiga, Saravanan dikatakan menerima RM597,000 (S$188,100) daripada Tan melalui Syed Amirul menerusi sekeping cek bank yang didepositkan ke dalam akaun milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.

Kesalahan itu dipercayai dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Jalan Klang Lama, Taman Desa pada 7 Julai 2022 bagi tujuan sama.

Kesemua tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, Saravanan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 (S$3,150), mengikut mana yang lebih tinggi.

DIJAMIN RM450,000

Mahkamah membenarkan Saravanan diikat jamin RM450,000 (S$141,800) dengan seorang penjamin warga Malaysia bagi kesemua tuduhan.

Dia juga diarahkan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap tiga bulan sehingga perbicaraan selesai dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan, sama ada sendiri atau melalui pihak ketiga.

Pihak pendakwa sebelum itu mencadangkan jaminan RM800,000 (S$252,100), manakala pihak pembela memohon jumlah RM300,000 (S$94,500).

Peguam Saravanan, Geethan Ram Vincent, berhujah bahawa anak guamnya memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan SPRM dan bertekad untuk membersihkan namanya daripada tuduhan tersebut.

Mahkamah menetapkan 29 September 2026 untuk sebutan semula kes.

Saravanan selesai membayar jaminan RM450,000 (S$141,800) dan meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 11.45 pagi.

MANTAN MENTERI, AHLI PARLIMEN EMPAT PENGGAL

Saravanan adalah Menteri Sumber Manusia dari 2020 hingga 2022, di bawah pentadbiran dua perdana menteri.

Dia berkhidmat di bawah Muhyiddin Yassin dari Mac 2020 hingga Ogos 2021, sebelum meneruskan jawatan itu di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sehingga November 2022.

Saravanan kini merupakan Ahli Parlimen Tapah di Perak dan sudah memegang kerusi tersebut selama empat penggal.

MIC, yang Saravanan merupakan Timbalan Presiden, adalah parti komponen Barisan Nasional (BN), yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sebelum didakwa, Saravanan dilapor menulis surat kepada Encik Anwar pada Rabu (26 Ogos), menyifatkan dakwaan SPRM terhadapnya sebagai "liar dan tidak berasas".

Menurut laporan Malaysiakini yang dipetik CNA, Saravanan mendakwa beberapa individu dipaksa untuk mengaitkannya dengan kes tersebut.

Dia turut mendakwa bahawa dia mahupun keluarganya tidak terlibat secara peribadi dalam pengambilan pekerja asing.

Tuduhan terhadap Saravanan dibuat sehari selepas mantan Perdana Menteri Ismail Sabri didakwa di mahkamah sama kerana gagal mengisytiharkan hartanya mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM.
Sumber : Bernama/CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita