Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mantan Menteri Pertahanan M'sia Ahmad Rithauddeen Ismail meninggal dunia

Bekas Menteri Pertahanan Malaysia, Ahmad Rithauddeen Ismail, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta pada 8.43 malam semalam (29 Apr), akibat sakit tua.

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Menteri Pertahanan M'sia Ahmad Rithauddeen Ismail meninggal dunia

Bekas Menteri Pertahanan Malaysia, Ahmad Rithauddeen Ismail meninggal dunia pada 29 April 2022. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan Malaysia, Ahmad Rithauddeen Ismail, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta pada 8.43 malam semalam (29 Apr), akibat sakit tua.

Allahyarham berusia 94 tahun.

Anak veteran UMNO itu, berkata bapanya yang mesra disapa Ku Deen mengalami strok dua minggu lalu dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dibenarkan discaj.

“Tetapi pagi ini Allahyarham mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat malam.

Menurutnya jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Wilayah Jalan Duta pada 8.30 pagi Sabtu (30 April), untuk dimandikan dan solat jenazah di masjid itu.

Bagaimanapun, katanya lokasi pengebumian masih belum diputuskan sama ada di Masjid Negara atau  Bukit Kiara.

Selain berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dari 1987 hingga 1990, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Menteri Fungsi Khas untuk membantu PM Abdul Razak di Kementerian Luar Negara (1973) sebelum menjadi Menteri Maklumat dan Fungsi Khas (1974).

Allahyarham kemudian menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negara (1975), Menteri Perdagangan dan Industri (1981) sebelum dilantik semula sebagai Menteri Luar Negara (1984) dan Menteri Maklumat (1986).

Sebelum itu, beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pertahanan pada 1970 dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1972.

Dalam arena politik, Allahyarham merupakan bekas Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO pada 2001 dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO (1987). 

Bekas Pengerusi UMNO Kelantan itu juga merupakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang pada 1973 selain bekas Presiden Majlis Pengelola Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMA).

Jasanya dalam bidang pendidikan pula ialah sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1992 selain sempat mencurah bakti dalam bidang sukan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1988.

Sumber : Bernama/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan