Skip to main content

Dunia

Mantan Menteri Pertahanan Korea Selatan dilaporkan diberkas berhubung pengisytiharaan undang-undang tentera

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Menteri Pertahanan Korea Selatan dilaporkan diberkas berhubung pengisytiharaan undang-undang tentera

Mantan Menteri Pertahanan Korea Selatan Kim Yong-hyun. (Gambar fail: SAUL LOEB / AFP)

Diterbitkan : 08 Dec 2024 09:21AM Dikemas Kini : 08 Dec 2024 01:43PM
SEOUL: Mantan Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun diberkas pada Ahad (8 Dis), lapor media tempatan, atas peranannya yang disyaki dalam pengisytiharaan undang-undang tentera Presiden Yoon Suk-yeol pada Selasa lalu.

Encik Kim diberkas selang sehari selepas Presiden Yoon terselamat daripada usul untuk mendakwanya di Parlimen pada Sabtu.

Usul itu dibuat menyusuli percubaannya untuk menguatkuasakan undang-undang tentera, yang hanya dilaksanakan beberapa jam sebelum beliau menarik balik perintah itu pada awal Rabu lalu.

Encik Kim, yang meletak jawatannya pada Rabu, dilihat sebagai dalang utama dalam pengisytiharaan undang-undang tentera, yang hanya berkuat kuasa selama beberapa jam pada Selasa sebelum ditarik balik. Malah, menurut seorang pegawai kanan tentera dan pemfailan yang dikemukakan untuk mendakwa Encik Yoon oleh para anggota pembangkang, Encik Kim telah membuat cadangan itu kepada Encik Yoon.

Meskipun usul untuk mendakwa Encik Yoon gagal, ketua partinya, Han Dong-Hoon mendedahkan bahawa parti tersebut telah memutuskan bahawa Encik Yoon akan melepaskan jawatan Presiden itu.

Tiga parti pembangkang minoriti memfailkan satu aduan kepada pihak pendakwa terhadap Encik Yoon, Encik Kim dan komander undang-undang tentera Park An-Su, sambil menuduh mereka melakukan pengkhianatan.

Encik Kim berdepan dengan larangan perjalanan sementara pihak pendakwa melakukan siasatan, lapor Yonhap.

Polis negara itu juga sedang menyiasat dakwaan pengkhianatan terhadap Encik Yoon dan menteri tertinggi.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita