Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mantan menteri perdagangan Indonesia diberkas berhubung siasatan kes rasuah import gula

Seorang menteri yang berkhidmat pada penggal pertama mantan Presiden Indonesia Joko Widodo memegang jawatan telah dinamakan sebagai suspek dalam satu kes rasuah membabitkan import gula pada Selasa (29 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan menteri perdagangan Indonesia diberkas berhubung siasatan kes rasuah import gula

(Gambar: ANTARA/Rivan Awal Lingga via Reuters)

JAKARTA: Seorang menteri yang berkhidmat pada penggal pertama mantan Presiden Indonesia Joko Widodo memegang jawatan telah dinamakan sebagai suspek dalam satu kes rasuah membabitkan import gula pada Selasa (29 Okt).

Kes rasuah itu didakwa menyebabkan Indonesia menanggung kerugian sekitar 400 bilion rupiah (S$33,674,400).

Media tempatan di Indonesia melaporkan mantan Menteri Perdagangan Thomas Lembong diberkas oleh pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam satu kes rasuah melibatkan import gula yang dikendalikan oleh kementeriannya pada ketika itu antara 2015 dengan 2016.

Encik Thomas memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Indonesia antara Ogos 2015 dengan Julai 2016.

Dia dituduh Pejabat Peguam Negara (AGO) kerana mengeluarkan permit import bagi 105,000 tan kristal gula merah.

Mereka mendakwa dia melakukannya walaupun menyedari terdapat lebihan bekalan gula dalam negara, lapor media tempatan.

Langkah itu juga dikatakan telah melanggar satu peraturan kementerian perdagangan dan perusahaan 2004 yang menyatakan hanya perusahaan milik pemerintah (SOE) yang dibenarkan untuk mengimport gula mentah.

Pejabat Peguam Negara Indonesia juga menafikan tuduhan bahawa penangkapan Encik Thomas itu mempunyai unsur politik.

Seorang pengarah penyiasat dari AGO, Encik Abdul Qohar berkata proses itu dijalankan mengikut prosedur sewajarnya.

"Sesiapa pun dalangnya, apabila bukti kukuh ditemui, penyiasat akan menamakan individu itu sebagai suspek," katanya seperti dinukil oleh media tempatan Tempo.

Encik Thomas diberkas menyusuli siasatan yang bermula pada Oktober tahun lalu, melibatkan 90 saksi.

Mantan menteri itu ditahan di Pusat Penahanan Salemba di Jakarta pada 29 Oktober beserta seorang lagi suspek, yang dikenali sebagai pengarah pembangunan perniagaan bagi firma perdagangan milik pemerintah PPI.

"Pada ketika itu, suspek yang merupakan seorang menteri perdagangan, telah meluluskan lesen import tanpa menyelaras dengan agensi-agensi pemerintah berkaitan," kata Encik Abdul Qohar, seperti dinukil oleh The Jakarta Globe.

Pada Januari 2016, Encik Thomas didakwa menandatangani surat yang mengarahkan supaya PPI dijadikan sebuah syarikat milik pemerintah (SOE) bagi memenuhi permintaan gula dalam negara dan menstabilkan harga komoditi tersebut di Indonesia.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan