Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mantan Menteri Kewangan Malaysia, Daim Zainuddin meninggal dunia pada usia 86 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Menteri Kewangan Malaysia, Daim Zainuddin meninggal dunia pada usia 86 tahun

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Nov 2024 09:53AM Dikemas Kini : 13 Nov 2024 11:10AM

KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Kewangan, Daim Zainuddin meninggal dunia pada Rabu (13 Nov), pada usia 86 tahun.

Perkara itu disahkan peguamnya, Dr Gurdial Singh Nijar, lapor BH Online.

Allahyarham meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Sementara itu portal Malaysiakini memetik Dr Gurdial sebagai berkata, pengebumian Allahyarham akan dibuat pada pagi Rabu.

"Ya. Benar dia meninggal dunia. Dia mengalami strok baru-baru ini dan diletakkan di unit rawatan rapi (ICU). Belum ada maklumat lanjut," katanya lagi.

Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.

Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.

Bagaimanapun pada awal 2024, Encik Daim didakwa di bawah akta rasuah setelah gagal mendedahkan maklumat hartanya, merangkumi 38 syarikat, 25 unit hartanah, tujuh kenderaan mewah, serta dua akaun dana pelaburan.

Jutawan itu yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Daim didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 Nov 2023 yang dihantar kepadanya oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 Nov 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Dis 2023.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Harta-harta berkenaan ialah akaun bank Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN), tujuh kenderaan mewah iaitu sebuah kereta jenama Rolls Royce Royce 2 Axle Rigid Body, tiga Mercedes Benz dan masing-masing sebuah kereta jenama Jaguar XJS HE, Austin Morris Austin dan Ford Prefect.

Selain itu, terdapat 38 syarikat yang tidak diisytiharkan termasuk Menara Ampang Sdn Bhd, Fortune Valley Sdn Bhd, Genius Field Sdn Bhd, Festive Place Sdn Bhd, Vast Access Sdn Bhd, and Reliance Shipping & Travel Agencies (Perak) Sdn Bhd.

Harta lain membabitkan 25 hartanah antaranya beberapa unit kondominium, rumah dan hotel melibatkan 18 di Kuala Lumpur dan Selangor, masing-masing tiga di Pahang dan Negeri Sembilan, manakala satu hartanah di Kedah.

Sumber : Agensi berita/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan