Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mantan menteri kesihatan M'sia Khairy Jamaluddin pertimbang jadi calon presiden UMNO

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan menteri kesihatan M'sia Khairy Jamaluddin pertimbang jadi calon presiden UMNO

Mantan Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin berucap semasa forum ehwal serantau ISEAS - Institut Yusof Ishak di Singapura pada 10 Jan 2022. (Gambar: Facebook/ISEAS - Institut Yusof Ishak)

Diterbitkan : 10 Jan 2023 10:11PM Dikemas Kini : 10 Jan 2023 10:15PM

SINGAPURA: Mantan menteri kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin berkata beliau sedang mempertimbangkan sama ada untuk bertanding bagi jawatan presiden UMNO dalam pilihan raya parti seterusnya, yang dijangka akan diadakan sebelum pertengahan tahun ini.

"Adakah saya akan bertanding bagi jawatan presiden parti saya? Saya masih berfikir tentangnya," kata Encik Khairy ketika menjawap pertanyaan semasa forum ehwal serantau ISEAS - Institut Yusof Ishak di Singapura pada Selasa (10 Jan).

Encik Khairy adalah Anggota Parlimen bagi Rembau, Negeri Sembilan selama tiga penggal sebelum beliau dipindahkan ke Sungai Buloh di Selangor yang merupakan kawasan undi yang terletak di kawasan bandar semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November.

Kerusi-kerusi parlimen bagi kawasan bandar dianggap sebagai kubu Pakatan Harapan (PH).

Encik Khairy akhirnya dikalahkan oleh K Ramanan dari PH dalam pertandingan tujuh penjuru, di mana gabungan parti Barisan Nasional (BN), yang dianggotai Encik Khairy kecundang di tempat ketiga dalam PRU15, dengan meraih hanya 30 kerusi, di belakang 81 kerusi yang dimenangi oleh PH dan 74 kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN).

Namun PH, BN dan parti-parti lain membentuk kerajaan perpaduan manakala PN - terdiri daripada PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan parti-parti lain - membentuk pembangkang.

Encik Khairy menyifatkan pemilihan UMNO seterusnya sebagai detik "paling penting" dalam sejarah parti itu dengan merujuk kepada keputusan menghampakan dalam PRU15. Beliau berkata pemilihan itu akan menentukan sama ada UMNO mampu berubah dan kekal relevan, atau "bersemadi dengan tenang".

"Saya fikir kali ini, taruhannya jauh, jauh lebih tinggi. Kerana sesiapa yang menangi (sebagai presiden UMNO) akan memimpin parti dalam pilihan raya seterusnya," katanya.

Encik Khairy pernah bertanding bagi jawatan tertinggi UMNO tersebut semasa pilihan raya parti pada 2018, tetapi kalah di tangan presiden sekarang Ahmad Zahid Hamidi.

Encik Ahmad Zahid kini menyandang salah satu antara dua jawatan timbalan perdana menteri dalam Kerajaan Perpaduan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Encik Ahmad Zahid berkata pada 5 Januari bahawa beliau yakin dapat mengekalkan jawatan presiden sekiranya beliau dicabar dalam pilihan raya seterusnya, sambil menarik perhatian bahawa beliau meraih 93 undi pada 2018.

Angka itu mengatasi jumlah 51 undi yang diraih oleh Encik Khairy berserta 23 undi yang diberikan seorang lagi pesaing, Tengku Razaleigh.

Media tempatan melaporkan timbalan pengerusi UMNO Johor Nur Jazlan Mohamed sebagai berkata pada 3 Januari bahawa para anggota UMNO perlu menumpukan kepada usaha untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti itu dan bukannya untuk menggantikan dua pemimpin tertinggi parti. Ini sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa kedua-dua jawatan itu mungkin tidak akan ditandingi.

Isu itu akan dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang akan diadakan di luar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung mulai Rabu ini (11 Jan) hingga Sabtu (14 Jan).

Encik Khairy berkata pada Selasa bahawa beliau ingin memastikan tiada usul diluluskan semasa PAU yang menghalang dua jawatan tertinggi UMNO daripada ditandingi dalam pilihan raya seterusnya.

"Pada masa dahulu mereka pernah menutup haluan itu, dan ia sangat tidak demokratik. Dan ini, dalam banyak-banyak pilihan raya, adalah sangat kritikal demi masa depan parti saya," ujar Encik Khairy.

Encik Khairy turut menolak pandangan bahawa perubahan pucuk pimpinan UMNO akan mendatangkan ketidakstabilan politik kerana ia dikatakan dapat menumbangkan kerajaan.

"Hari ini saya ingin mengatakan dengan jelas, dan secara mutlak.... Sekiranya saya, atau rakan-rakan saya, memenangi jawatan presiden, memenangi kepimpinan parti saya, kami akan memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, Anwar Ibrahim, dan kepada anda."

Beliau mengikrarkan komitmen beliau untuk memastikan bahawa sebarang perubahan kepada pucuk pimpinan UMNO tidak akan menyebabkan kegenjotan politik, kerana ini "bukan apa yang diperlukan oleh Malaysia".

"Ia tidak akan berlaku. Tiada penggantian kerajaan, tiada penggantian perdana menteri, mungkin ada pertukaran timbalan perdana menteri, siapa yang tahu?" tambah beliau.

TAWAN SEMULA UNDI MELAYU

Dalam ucapannya semasa forum tersebut, Encik Khairy mengulas tentang bagaimana UMNO diatasi oleh gabungan parti pembangkang PN, dengan merujuk kepada analisis awal keputusan PRU15 dan peralihan dalam kalangan pengundi Melayu.

Beliau berkata 54 peratus undi Melayu adalah bagi PN, 33 peratus bagi BN, sementara 11 peratus hingga 20 peratus adalah untuk PH.
"Kesannya, yang merupakan sesuatu yang amat serius, dan sesuatu yang sangat mustahak, adalah hakikat bahawa anda mempunyai blok pembangkang seramai 74 anggota yang hampir kesemuanya terdiri daripada masyarakat Melayu/Islam," kata Encik Khairy.

"Ini bermakna dalam kalangan pembangkang, lebih jelas apa yang mereka akan lakukan untuk menambat (hati pengundi). Mereka tidak berpura-pura dalam mencuba untuk menggabungkan ideologi, kaum dan kumpulan demografi berbeza-beza untuk membentuk gabungan parti.

"Mereka boleh saja mengutarakan identiti politik, mereka boleh saja mengutarakan isu etnik dan kaum tanpa sebarang kebimbangan kerana ia merupakan blok pembangkang yang bersepakat. Dan ia akan merapuhkan, dan boleh merapuhkan lagi negara," ujar Encik Khairy.

Namun beliau berkata kerajaan diterajui Encik Anwar mempunyai tiga cara untuk mencegah kehilangan sokongan daripada masyarakat Melayu.

Encik Khairy berkata Encik Anwar sudahpun menegakkan kewibawaannya sebagai seorang Melayu/Islam dengan menjalin hubungan dengan pemimpin-pemimpin Melayu Islam antarabangsa dan bertemu dengan cendekiawan Melayu/Islam, dan pada masa yang sama, meminta Parti Tindakan Demokratik (DAP), iaitu salah sebuah parti komponen PH yang dianggap sesetengah pengundi sebagai anti-Melayu, agar memainkan peranan kurang ketara dalam kerajaan.

"Dan ketiga, sudah tentunya, adalah untuk mengecam PAS dan Bersatu, dan ini akan dilakukan dari segi politik dan bukan politik menerusi kaedah-kaedah lain, untuk memastikan kewibawaan parti-parti itu dihakis," kata Encik Khairy.

Bagaimanapun, mantan Ketua Pemuda UMNO itu berkata parti itu tidak semestinya menghindari isu-isu kaum dan agama di dalam politik, dan membahaskan isu itu mengikut rentak yang ditentukannya sendiri.

"Kerana jika anda tidak melakukannya, orang lain akan melakukannya menerusi cara-cara yang jauh lebih keji. Dan di Malaysia, sama ada anda menyenanginya atau tidak, politik identiti masih ada di sini. Dan ia akan berkekalan buat masa akan datang," tambah Encik Khairy.
Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan