Skip to main content

Dunia

Mantan menteri ekonomi Malaysia dakwa terima ugutan selepas anak lelakinya diserang

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan menteri ekonomi Malaysia dakwa terima ugutan selepas anak lelakinya diserang

Petikan skrin mantan menteri ekonomi Malaysia Rafizi Ramli di sidang media pada 14 Ogos 2025, sehari selepas anak lelakinya dipercayai disuntik menggunakan picagari dalam satu serangan. (Gambar: YouTube/@ParlimenMalaysia1)

Diterbitkan : 14 Aug 2025 05:46PM Dikemas Kini : 14 Aug 2025 09:08PM
PUTRAJAYA: Selang beberapa jam selepas anak lelakinya didakwa disuntik menggunakan picagari di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, mantan Menteri Ekonomi Malaysia Rafizi Ramli berkata pada Khamis (14 Ogos) bahawa keluarganya menerima mesej ugutan yang menyuruhnya berhenti bercakap mengenai isu-isu negara.

"Serangan itu jelas satu ugutan kerana mesej-mesej itu ditujukan kepada kami ... pada pendapat saya, ugutan itu berkaitan dengan peranan saya sebagai Anggota Parlimen dan sebagai ahli politik," kata AP Pandan di Selangor itu dalam satu sidang media.

Serangan yang didakwa berlaku pada Rabu itu dikecam oleh ahli politik dari kedua-dua belah pihak, dengan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menggesa supaya siasatan segera dijalankan dan secara telus.

SERANGAN PICAGARI DAN UGUTAN MENERUSI KIRIMAN TEKS

Menurut Encik Rafizi, isteri dan anak lelakinya yang berusia 12 tahun baharu sahaja memasuki kereta mereka selepas meninggalkan pusat beli-belah di Putrajaya pada kira-kira pukul 1.45 petang apabila seorang lelaki tiba-tiba menarik anak lelakinya lalu menyuntiknya menggunakan picagari.

Tiada butiran didedahkan mengenai bahagian tubuh anaknya yang disuntik.

"Pada pendapat saya, serangan itu sudah pun dirancang lebih awal," kata Encik Rafizi dalam kenyataannya pada Rabu, sambil menambah bahwa hasil pemeriksaannya mendapati dua lelaki yang menunggang motosikal mengekori kereta isterinya sebelum serangan itu.

Beliau berkata kedua-dua suspek - yang berpakaian warna hitam dan memakai topi keledar yang menutup seluruh wajah mereka - menunggu "masa yang sesuai" untuk menyerang anaknya.

Kanak-kanak itu kini dalam keadaan stabil dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM), lapor media tempatan.

"Sepanjang tempoh saya berkhidmat sebagai ahli politik berprofil tinggi, ini adalah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan sedemikian," kata Encik Rafizi lagi.

"Saya percaya serangan ini adalah amaran kepada saya supaya tidak lantang bersuara mengenai pelbagai isu... Saya tidak akan tunduk kepada ugutan itu dan akan menjalankan tugas saya seperti biasa."
Related article image
Pada Julai, Encik Rafizi (tengah di barisan pertama) dan 8 penggubal undang-undang dari parti politik pimpinan PM Anwar Ibrahim menggesa siasatan diraja dan siasatan parlimen dijalankan terhadap kekosongan jawatan berprofil tinggi dalam badan kehakiman Malaysia. (Gambar: Facebook/Nik Nazmi)
Ketua polis Selangor Shazeli Kahar berkata pada Rabu bahawa pihak berkuasa sedang menjejaki kedua-dua suspek lelaki dan sudah pun memperolehi rakaman kamera litar tertutup dari pusat beli-belah tersebut, lapor berita tempatan di Malaysia, The New Straits Times.

Encik Shazeli menambah kejadian itu dikatakan berlaku di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang di pusat beli-belah berkenaan, tanpa mendedahkan nama pusat beli-belah itu.

Dalam kenyataannya pada Khamis (14 Ogos), Encik Rafizi berkata isterinya menerima dua pesanan teks dari nombor yang tidak dikenali sebelum berlaku kejadian itu, di mana pengirim teks itu mengugut untuk memberi jangkitan AIDS kepada anak lelaki mereka.

Kiriman teks yang sama dihantar pada kira-kira pukul 11.00 pagi, disusuli dengan tiga gambar emoji picagari.

Encik Rafizi berkata beliau sudah pun melaporkan kejadian tersebut kepada polis.

Beliau menambah bahawa beliau mengesyaki serangan itu ada kaitan dengan satu kes yang beliau sedang siasat, sambil menambah beliau baharu bertemu dengan sekumpulan pemberi maklumat pada minggu lalu.

"Pada pendapat saya, ini adalah percubaan untuk menutup mulut saya dan mereka mahu saya melepaskan kes itu," kata Encik Rafizi pada Khamis, tanpa mendedahkan kes tersebut.

Encik Rafizi berundur sebagai menteri ekonomi Malaysia selepas gagal mengekalkan jawatannya sebagai timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau dikalahkan anak perempuan PM Anwar iaitu Nurul Izzah Anwar pada 23 Mei lalu.

Beliau masih menganggotai parti tersebut dan terus berkhidmat sebagai AP Pandan.

KECAMAN DARI KERAJAAN, AHLI POLITIK

Kedua-dua kerajaan dan ahli politik daripada pelbagai parti politik mengecam serangan yang didakwa berlaku itu.

Dalam satu kenyataan ringkas pada Rabu, PM Anwar berkata beliau sudah memaklumkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail supaya memastikan siasatan "segera dan telus" dijalankan terhadap apa yang beliau sifatkan sebagai serangan "berniat jahat" dan "perbuatan khianat".

"Mendoakan kesejahteraan yang terbaik buat saudara Rafizi serta keluarga," kata PM Anwar.

Sementara itu, Encik Saifuddin memberi jaminan bahawa siasatan terhadap serangan itu akan dijalankan secara adil dan berdasarkan undang-undang, tanpa mengambil kira status atau latar belakang mana-mana pihak yang terbabit.

Beliau juga menggesa orang awam agar tidak membuat sebarang andaian dan membenarkan polis menjalankan siasatan mengikut undang-undang, lapor media tempatan.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita