Skip to main content

Dunia

Mantan Ketua Polis disyaki 'khianat Indonesia'; lakukan penyadapan terhadap Prabowo

Mantan Ketua Kepolisian Negara Republik Indonesia (Kapolri) (Ketua Polis Negara Indonesia) mungkin melakukan "pengkhianatan terhadap negara" menerusi pelibatannya dalam kegiatan penyadapan terhadap Presiden Prabowo Subianto, menurut pemerintah pada Rabu (4 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Ketua Polis disyaki 'khianat Indonesia'; lakukan penyadapan terhadap Prabowo

Kepala Kepolisian Negara Republik Indonesia (Kapolri) (Ketua Polis Negara Indonesia), Listyo Sigit Prabowo, bercakap kepada media selepas menghadiri upacara penubuhan pasukan keselamatan gabungan tentera dan polis bagi Sidang Puncak ASEAN ke-43 di kawasan Monumen Nasional, Jakarta, pada 1 September 2023. (Gambar fail: AFP/Yasuyoshi Chiba)

Diterbitkan : 04 Nov 2026 11:41PM Dikemas Kini : 04 Nov 2026 11:53PM
Former police chief suspected of ‘betraying Indonesia’; tapped Prabowo
  • Listyo Sigit Prabowo was detained with two senior police officers on Tuesday and dismissed as presidential chief of staff after being suspected of tapping President Prabowo and other figures since 2025 without legal grounds.
  • On Wednesday, Nov 4, spokesman Prasetyo Hadi said the actions could be considered treason and a threat to national security, but the motive was unknown; Listyo had not commented publicly.
  • The scandal erupted as Prabowo faced protests and declining support over economic issues, forest fires, governance and corruption, while thousands of Indonesian National Armed Forces (TNI) personnel were deployed to Jakarta as a routine precaution.
  • Pressure also mounted on Vice-President Gibran after a court annulled his high school certificate in October, prompting opposition calls for him to be removed from office.
Dijana oleh AI

JAKARTA: Mantan Ketua Kepolisian Negara Republik Indonesia (Kapolri) (Ketua Polis Negara Indonesia) mungkin melakukan "pengkhianatan terhadap negara" menerusi pelibatannya dalam kegiatan penyadapan terhadap Presiden Prabowo Subianto, menurut pemerintah pada Rabu (4 Nov).

Listyo Sigit Prabowo dipecat daripada jawatan terbaharunya sebagai Kepala Staf Kepresidenan (Ketua Turus Presiden). Dia diberkas pada Selasa bersama dua lagi pegawai kanan polis kerana disyaki melakukan penyadapan terhadap Presiden Prabowo dan beberapa individu berprofil tinggi yang lain.

"Apa yang dilakukan itu mungkin termasuk dalam kategori tindakan yang boleh dianggap menjurus kepada pengkhianatan terhadap negara," kata Jurucakap Presiden Prasetyo Hadi kepada para wartawan di Jakarta pada Rabu.

"Ini juga merupakan tindakan yang membahayakan keselamatan dan kepentingan negara, termasuk mengancam keselamatan pemimpin negara," kata beliau.

Di bawah Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) (Kanun Jenayah Indonesia), hukuman maksimum bagi kesalahan pengkhianatan terhadap presiden ialah hukuman mati dengan cara ditembak. Bagaimanapun, Indonesia tidak melaksanakan sebarang hukuman mati sejak 10 tahun lalu.

Pegawai pemerintah dan ahli politik, wartawan, wakil pertubuhan bukan pemerintah (NGO) serta ahli perniagaan turut menjadi sasaran kegiatan penyadapan melibatkan perbualan yang dipercayai berlaku itu.

Ketua penyiasat tertinggi Kepolisian Negara Republik Indonesia (Polri) (Polis Negara Indonesia), Asep Safrudin, berkata pada Selasa bahawa kegiatan penyadapan tersebut dijalankan "tanpa sebarang asas undang-undang atau tanpa melalui proses penyiasatan atau siasatan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa".

Listyo belum mengulas secara terbuka mengenai tuduhan tersebut.

Encik Prasetyo berkata pada Rabu bahawa motif di sebalik tindakan tersebut masih belum diketahui.

"Apabila kita bercakap mengenai ketua negara ... terdapat begitu banyak maklumat yang sememangnya sangat sensitif, yang boleh membahayakan ... kepentingan serta kekuatan bangsa dan negara," kata beliau.

Encik Prasetyo menambah bahawa Presiden Prabowo sudah menyuarakan "kebimbangan yang mendalam" terhadap pendedahan tersebut.

TEKANAN TERHADAP PRESIDEN

Encik Prabowo, yang mula memegang jawatan pada 2024, berdepan tekanan yang semakin meningkat berhubung cara pemerintahnya mengendalikan ekonomi dan menangani kebakaran hutan yang menyebabkan kemusnahan besar.

Golongan pelajar dan kumpulan-kumpulan lain juga telah mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran terhadap beliau sejak beberapa minggu lalu. Mereka turut mengecam apa yang dianggap sebagai peningkatan amalan pemerintahan kuku besi dan rasuah yang berleluasa.

Tahap sokongan terhadap Presiden Prabowo juga merosot ke paras terendah dalam sejarah. 

Encik Prabowo turut merombak kabinetnya buat kali ketujuh pada Oktober, dengan melantik Listyo, 57 tahun, sebagai Kepala Staf Kepresidenan (Ketua Turus Presiden).

Presiden Prabowo dan Encik Listyo tidak mempunyai hubungan kekeluargaan.

Sebelum pelantikan tersebut, Encik Listyo berkhidmat sebagai Kepala Kepolisian Negara Republik Indonesia (Kapolri) (Ketua Polis Negara Indonesia) ketika kegiatan memantau perbualan tersebut dikatakan berlaku. Menurut para penyiasat, kegiatan tersebut bermula pada 2025.

Para pengguna media sosial di Indonesia membuat pelbagai spekulasi mengenai keadaan yang dilihat semakin tidak menentu dalam kalangan kepimpinan tertinggi pemerintah.

Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) minggu ini mengarahkan pengerahan ribuan anggota tentera ke ibu kota Jakarta, sekali gus menambahkan lagi keresahan.

Jurucakap TNI, Muhammad Nas, memberitahu AFP bahawa "pengerahan anggota tentera itu merupakan langkah rutin yang dilaksanakan bagi memastikan kesediaan operasi TNI".

Penganalisis Khairul Fahmi dari Institut Kajian Keselamatan dan Strategik (ISESS) Indonesia memberitahu AFP bahawa "ketelusan yang lebih tinggi mengenai pengerahan anggota tentera tersebut sudah tentu dapat membantu mengelakkan spekulasi yang tidak diingini".

Bagaimanapun, buat masa ini, beliau berkata, "Saya tidak melihat bukti yang mencukupi untuk membuat kesimpulan bahawa pengerahan tersebut menandakan campur tangan tentera yang bakal berlaku atau konfrontasi antara institusi negara."

Skandal penyadapan itu berlaku sedang tekanan turut meningkat terhadap Wakil Presiden (Naib Presiden) Gibran Rakabuming Raka, anak kepada mantan Presiden Joko Widodo.

Parti pimpinan Encik Widodo (Jokowi) merupakan anggota gabungan pemerintah. Populariti beliau secara meluas dianggap telah membantu Encik Prabowo memenangi pilihan raya presiden, dengan Encik Gibran sebagai naib presidennya.

Desakan supaya Encik Gibran digugurkan daripada jawatannya kembali meningkat selepas Mahkamah Agung Republik Indonesia memutuskan pada Oktober untuk membatalkan sijil sekolah menengahnya. Menurut pihak lawan, keputusan tersebut menyebabkan beliau tidak lagi layak memegang jawatan sebagai naib presiden. 

Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita