Mantan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL tarik balik rayuan berhubung saman terhadap Najib
Mantan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Encik Najib Razak untuk membatalkan saman yang dikemukakannya berhubung angkat sumpah jawatan perdana menteri pada 2009.
Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Mantan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ibrahim hari ini (29 Mac) menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Encik Najib Razak untuk membatalkan saman yang dikemukakannya berhubung angkat sumpah jawatan perdana menteri pada 2009, yang didakwa tidak mengikut Perlembagaan.
Peguam Adenan Ismail yang mewakili Mat Zain, memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Dr Badariah Sahamid bahawa anak guamnya ingin menarik balik rayuan itu dengan kos RM2,500 (S$830).
Dr Badariah, yang bersidang bersama Hakim Zabariah Mohd Yusof dan Hanipah Farikullah, kemudian membatalkan rayuan itu dengan kos RM2,500 (S$830).
Pada 6 Julai 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Encik Najib untuk membatalkan saman itu memandangkan isu berkenaan menjadi akademik kerana Encik Najib bukan lagi perdana menteri.
Dalam samannya yang difailkan pada 3 Mac 2018, Mat Zain mendakwa sumpah jawatan dan kesetiaan yang dibuat Encik Najib pada 3 April 2009, tidak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia diubah.
Beliau memohon pengisytiharan tindakan Encik Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan sebagai batal dan tidak sah.
Encik Adenan, yang ditanya sebab anak guamnya tidak mahu meneruskan rayuan itu semasa ditemui di luar mahkamah, berkata ia adalah kerana perkara itu sudah tidak relevan kerana Encik Najib bukan lagi perdana menteri.
Peguam Nurshafiqa Balqish Jaffri mewakili Encik Najib.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.