Skip to main content

Dunia

Mantan gabenor Rizab Persekutuan Amerika letak jawatan; ulang kali langgar peraturan dagangan

Mantan gabenor Rizab Persekutuan (Fed) Adriana Kugler meletak jawatan pada Ogos menyusuli beberapa pelanggaran terhadap peraturan etika ketat bank pusat tersebut, menurut pendedahan pemerintah yang diterbitkan pada Sabtu (15 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:
Mantan gabenor Rizab Persekutuan Amerika letak jawatan; ulang kali langgar peraturan dagangan
Adriana Kugler dari Maryland bercakap semasa sesi pendengaran Jawatankuasa Perbankan, Perumahan dan Hal Ehwal Bandar Senat bagi meneliti pencalonannya sebagai ahli Lembaga Gabenor Sistem Rizab Persekutuan, pada 21 Jun 2023, di Capitol Hill, Washington. (Gambar: AP/Mariam Zuhaib)
NEW YORK: Mantan gabenor Rizab Persekutuan (Fed) Adriana Kugler meletak jawatan pada Ogos menyusuli beberapa pelanggaran terhadap peraturan etika ketat bank pusat tersebut, menurut pendedahan pemerintah yang diterbitkan pada Sabtu (15 Nov).

Cik Kugler, yang menyertai Fed pada 2023, berundur selepas memohon pengecualian untuk menangani pelanggaran pelaburan berulang melibatkan suaminya, termasuk dagangan saham individu dan urus niaga yang dibuat berhampiran dengan tarikh mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC). Seorang pegawai Fed berkata permohonannya ditolak.

Cik Kugler tidak menghadiri mesyuarat FOMC pada 30–31 Julai dan meletak jawatan pada hari berikutnya.

PELANGGARAN ETIKA DIRUJUK KEPADA INSPEKTOR JENERAL

Satu pemfailan yang dikeluarkan oleh Pejabat Etika Pemerintah memperincikan beberapa dagangan tambahan yang melanggar peraturan Fed, termasuk pembelian saham yang dilarang dan urus niaga yang dibuat pada atau berhampiran tarikh mesyuarat dasar. Pendedahan terakhirnya juga tidak disahkan oleh pegawai etika Fed, sesuatu yang jarang berlaku.

Cik Kugler memberitahu para pegawai bahawa pelanggaran tersebut berkaitan dengan suaminya dan berkata beliau tidak berniat untuk melanggar sebarang dasar.

Inspektor Jeneral Fed berkata pihaknya sudah membuka siasatan selepas menerima rujukan tersebut, namun menambah bahawa ia tidak akan membuat komen lanjut sehingga semakan selesai.

Isu etika melibatkan Cik Kugler pertama kali timbul pada Oktober 2024 apabila beliau melaporkan pembelian saham Apple dan Cava Group, yang kemudiannya dijual. Beliau kemudiannya menerima latihan etika tambahan.

FED DI BAWAH PEMERHATIAN

Kes tersebut merupakan satu lagi tamparan terhadap Fed sedang ia berusaha untuk membina semula keyakinan selepas skandal terdahulu melibatkan ketua-ketua bank serantau yang berdagang dalam pasaran kewangan semasa menggubal dasar kewangan.

Bank pusat itu sudah memperketat peraturannya dengan ketara sejak 2021, melarang para pegawai dan keluarga mereka daripada membeli saham individu serta mengehadkan tempoh dagangan.

Pengunduran Cik Kugler membolehkan Presiden Donald Trump melantik Stephen Miran ke jawatan tersebut. Encik Miran mendesak pengurangan kadar faedah yang lebih ketara dan kini sedang mengambil cuti daripada peranannya di Rumah Putih, mencetuskan kebimbangan mengenai kebebasan politik Fed.

Senator Elizabeth Warren berkata episod itu menunjukkan keperluan untuk mengadakan perlindungan yang lebih ketat. Beliau menggesa Kongres untuk meluluskan undang-undang dwipartisan baharu “untuk menjadikan Fed lebih telus dan bertanggungjawab”.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita