Mantan COO Tabung Haji masuk hospital; prosiding mahkamah ditangguh hingga 24 Sep
Prosiding pendakwaan terhadap mantan Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) ditangguhkan hingga 24 September selepas beliau dimasukkan ke hospital bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan berkaitan masalah jantung.
Prosiding pendakwaan terhadap mantan Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) ditangguhkan hingga 24 September selepas beliau dimasukkan ke hospital bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan berkaitan masalah jantung. (Gambar: Mediacorp)
Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili mantan COO itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat menghadiri prosiding pada Khamis (3 Sep) kerana telah dimasukkan ke UM Specialist Centre (UMSC) sejak 31 Ogos 2026.
Beliau berkata berdasarkan nasihat pakar jantung di pusat perubatan itu, anak guamnya sedang menjalani pemantauan elektrokardiogram (ECG) secara bersiri dan perlu berada di hospital.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin menyerahkan kepada budi bicara mahkamah sama ada tuduhan perlu dibacakan pada Khamis (3 Sep).
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian menangguhkan kes itu hingga 24 September untuk tuduhan dibacakan.
Mahkamah berpandangan keadaan kesihatan mantan COO itu tidak membolehkannya hadir di mahkamah kerana beliau sedang menjalani pemeriksaan dan rawatan berkaitan jantung.
Sementara itu, Wan Azwan Aiman ketika ditemui di luar mahkamah berkata anak guamnya akan didakwa atas tiga tuduhan berkaitan rasuah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
SIASATAN SUSULI LAPORAN RCI TABUNG HAJI
Sebelum ini, SPRM memperoleh perintah reman terhadap 11 individu bagi membantu siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji.
Antara mereka yang direman termasuk mantan pengerusi TH, mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), mantan menteri serta beberapa anggota pengurusan kanan dan individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkaitan.
Laporan RCI mengenai TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai 2026 merekodkan pelbagai kelemahan dalam pengurusan dan operasi institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Ia turut menyenaraikan beberapa pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik serta menyebut mengenai kewujudan transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.