Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Manny Pacquiao bakal bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Filipina 2022

Petinju profesional Filipina yang kini bergelar ahli politik, Manny Pacquiao, mengumumkan beliau akan bertanding bagi merebut jawatan presiden negara itu pada tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Manny Pacquiao bakal bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Filipina 2022

Ikon peninju Filipina dan Senator Manny Pacquiao. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 19 Sep 2021 10:54PM Dikemas Kini : 19 Sep 2021 10:56PM

MANILA: Petinju profesional Filipina yang kini bergelar ahli politik, Manny Pacquiao, mengumumkan beliau akan bertanding bagi merebut jawatan presiden negara itu pada tahun depan. Ini secara langsung mengesahkan spekulasi sebelum ini bahawa Pacquiao berhasrat untuk mencuba nasib mencalonkan dirinya bagi jawatan tertinggi negara itu.

"Masanya sudah tiba - kita sudah bersedia untuk mencabar tampuk kepimpinan negara," kata Pacquiao selepas menerima pencalonan bagi menentang Presiden Rodrigo Duterte dari parti pemerintah.

Juara dunia dan tokoh kesayangan negara itu membuat pengumuman tersebut beberapa minggu selepas tewas dalam pertarungan profesional terakhirnya menentang petinju Cuba, Yordenis Ugas, di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).

Pacquiao, yang menceburi bidang politik pada 2010 sebagai ahli Kongres sebelum dipilih menjadi senator, sudah lama dijangka akan mencuba nasib mengambil alih tampuk kepimpinan Filipina.

Beliau, yang berusia 42 tahun, sangat dikagumi di negaranya atas sifat murah hati dan kejayaannya keluar dari lingkaran kemiskinan untuk menjadi salah seorang petinju terkenal di dunia.

Ketokohannya sebagai petinju dan usaha membasmi kemiskinan serta rasuah dijangka menjadi tema utama kempennya nanti.

"Bagi sesiapa yang bertanya mengenai kelayakan saya, pernahkah anda mengalami kebuluran?" tanya Pacquiao dalam perhimpunan nasional yang dianjurkan oleh kumpulan anti-Duterte dalam parti PDP-Laban.

"Pernahkah anda mempunyai pengalaman tiada apa yang boleh dimakan, meminjam duit dari jiran dan menunggu sisa makanan di gerai makan? Manny Pacquiao yang berada di depan anda ini dibesarkan oleh kemiskinan."

Tarikh akhir untuk mendaftarkan diri sebagai seorang calon bagi pilihan raya presiden tahun depan di negara itu adalah pada 8 Oktober.  

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan