Mangsa terselamat berdepan kemusnahan besar susuli 'bencana lumpur' Nepal
Seorang lelaki berjalan di sepanjang tebing Sungai Trishuli di tengah-tengah kemusnahan besar akibat banjir di Devighat, Nepal. (Gambar: CNA/Jack Board)
Di bawah, terbentang kesan kemusnahan besar dari kawasan pergunungan tinggi. Tebing sungai yang merentasi daerah Nuwakot, 60 kilometer ke selatan sempadan Nepal dengan China, kini juga terhakis teruk.
Rumah-rumah yang pernah berdiri di sini hilang tanpa jejak. “Ia ibarat bencana lumpur,” kata seorang penduduk tempatan ketika berjalan meredah lumpur.
Hanya lebih seminggu lalu, kawasan itu merupakan lembah subur di kaki Himalaya, dengan sawah padi, pekan-pekan di tepi sungai dan bukit-bukau hijau yang curam. Kini, air keruh terus mengalir deras di Sungai Trishuli, dipenuhi batu dan serpihan.
Banjir itu bermula jauh di hulu di Tibet pada 26 Ogos apabila runtuhan besar batu dan ais glasier menyebabkan air dan serpihan mengalir deras melalui lembah sempit menuju Nepal. Arus deras itu memasuki Nepal melalui daerah Rasuwa sebelum membadai kawasan ke selatan menerusi sistem Sungai Bhote Koshi dan Trishuli.
Kederasan arus mengubah koridor sungai yang menghubungkan masyarakat pergunungan menjadi laluan kemusnahan. Jalan raya dan jambatan dihanyutkan, projek hidroelektrik ditenggelami air, manakala kawasan petempatan di hilir tertimbus.
Seminggu selepas bencana melanda, rantau itu masih diselubungi kesedihan dan kehilangan, sedang pihak berkuasa mengendalikan operasi respons yang rumit dan melibatkan pelbagai aspek di kawasan yang sebahagian besarnya sukar ditembusi.
Penguasa Pengurusan Risiko Bencana Nasional Nepal berkata 987 mayat sudah ditemui dan 3,916 orang masih hilang setakat pagi Selasa (1 Sep), manakala 11,814 orang berjaya diselamatkan.
Namun, operasi mencari dan menyelamat serta usaha menemukan mangsa masih diteruskan. Pasukan penyelamat belum berputus asa untuk mencari lebih ramai mangsa yang masih hidup.
Harapan terbesar pasukan penyelamat mungkin terletak di bawah kawasan pergunungan. Lebih 600 pekerja hidroelektrik dikhuatiri terperangkap di dalam terowong yang banyak tertumpu di utara Bidur.
Bencana itu melanda salah satu pusat industri hidroelektrik Nepal yang berkembang pesat. Beberapa stesen janakuasa dan projek yang sedang dibina terletak di sepanjang lembah sungai yang curam itu. Beberapa daripadanya rosak akibat banjir.
Sejak beberapa hari lalu, pasukan penyelamat menggunakan bahan ledakan dan menggali untuk memasuki terowong-terowong berkenaan dengan harapan para pekerja terselamat daripada banjir awal dengan berlindung di dalam stesen janakuasa bawah tanah.
Para jurutera dilaporkan mengepam udara ke dalam terowong tersebut. Sebuah pasukan berjaya memasuki salah satu terowong, namun berundur selepas tidak menemui sesiapa di lokasi itu.
Di sebuah pangkalan tentera di Bidur, yang kini menjadi pusat kawalan bagi operasi udara ke zon bencana di bahagian utara, orang ramai menunggu dengan penuh harapan untuk menerima berita mengenai saudara-mara yang hilang di seluruh kawasan bencana.
Di luar bandar itu, prasarana jalan raya dan jambatan musnah sepenuhnya.
Rangkaian telefon bimbit terganggu di beberapa bahagian zon bencana, manakala akses ke sesetengah kawasan masih sukar.
LEBIH BANYAK MAYAT DALAM LUMPUR
Di pekan kecil Devighat yang terletak berhampiran, sebuah jengkaut mula menggali di sekitar sebuah rumah yang runtuh berhampiran sungai. Pasukan penyelamat turut berada di lokasi bersama anjing pengesan.
Selepas beberapa ketika, mereka menemui sesuatu. Namun, yang ditemui ialah satu lagi mayat, menambah jumlah kematian yang terus meningkat.
Para penduduk tempatan memberitahu Mediacorp bahawa mereka melihat mayat di atas bumbung sejurus selepas banjir berlaku.
Beberapa hari kemudian, bau mayat masih kuat berlegar-legar di ruang udara. Dron pengangkut berat diterbangkan di ruang udara membawa pengusung dan kemudian beg mayat merentasi kawasan yang kini sukar dilalui kenderaan.
Kehidupan masyarakat di tepi sungai itu seakan-akan terhenti, terkubur dalam lumpur. Motosikal dibiarkan terbengkalai dan diselaputi lumpur, manakala barangan peribadi berselerakan.
Namun, sebahagian penduduk mula kembali ke rumah masing-masing untuk menyelamatkan apa sahaja yang masih boleh digunakan.
Dua lelaki di tingkat satu sebuah rumah yang ditenggelami lumpur berhenti seketika daripada menyodok lumpur dan serpihan sambil termenung memikirkan segala yang sudah hilang.
Devighat berdepan proses pemulihan yang panjang. Keluarga yang kehilangan tempat berteduh kini berdepan persoalan lebih besar dalam jangka panjang - di mana mereka akan tinggal selepas operasi bantuan berakhir kelak.
Menurut Palang Merah, dianggarkan lebih 93,000 orang terjejas di seluruh kawasan yang dilanda bencana.
Di sebuah sekolah tempatan, beratus-ratus orang ditempatkan sementara dan diberikan makanan serta keperluan harian. Dengan suhu sekitar 35 darjah Celsius dan kelembapan musim monsun yang tinggi, keadaan kelihatan tidak selesa bagi mereka yang berteduh di bawah bumbung dan duduk di sepanjang pagar.
Keadaan itu membawa risiko baharu. Khidmat kesihatan terganggu di kawasan terjejas, manakala kekurangan ubat-ubatan dan kesesakan di pusat perlindungan sementara menimbulkan kebimbangan mengenai risiko penularan penyakit dalam kalangan mangsa yang sudah keletihan.
Para pegawai tempatan berkata mereka masih belum mempunyai rancangan mengenai langkah seterusnya apabila sekolah perlu dibuka semula atau huraian lebih mampan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal.
Perbincangan dengan pemerintah tempatan sudah dimulakan untuk mencari penyelesaian, kata Prachanda Babu Rai, yang menyelaras pusat perlindungan sementara di Sekolah Menengah Shree Chandrajyoti.
“Saya ingin merayu kepada para penderma bahawa kami memerlukan bumbung zink, khemah dan peralatan lain yang boleh digunakan untuk membina tempat perlindungan,” katanya.
Niru Neupane, 51 tahun, seorang penduduk tempatan, adalah antara mereka yang kini kehilangan tempat tinggal.
“Pada mulanya rumah kami mula bergegar, kemudian saya melihat bongkah batu besar dibawa arus deras ke hilir. Saya berlari dari bumbung rumah menuju ke bangunan jiran di kawasan lebih tinggi sebelum naik ke jalan raya,” katanya.
Di tepi sungai, tiada apa-apa lagi yang tinggal di tempat rumahnya pernah berdiri. Hanya hamparan lumpur tebal yang tidak stabil menyebabkan kawasan itu sukar dilalui.
“Selepas saya menyelamatkan diri, saya melihat rumah saya dihanyutkan sungai dan tiba-tiba pandangan saya menjadi malap apabila menyedari saya sudah kehilangan segala-galanya.”
Suaminya meninggal dunia hanya enam minggu sebelum banjir tersebut. Kini, selepas kehilangan rumah dan menyaksikan kemusnahan besar dalam masyarakatnya, Cik Neupane berkata kesedihan yang ditanggung begitu berat sehingga beliau berharap dirinya turut dihanyutkan banjir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.