Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mangsa Taufan Gabrielle di New Zealand terlalu takut untuk pulang ke rumah

Anggaran Waktu Membaca:
Mangsa Taufan Gabrielle di New Zealand terlalu takut untuk pulang ke rumah

(Gambar: PLTOFF Callum Post/New Zealand Defence Force/AFP)

AUCKLAND: Bulan lalu, Taufan Gabrielle melanda North Island di New Zealand, sekali gus menyebabkan 11 orang terkorban dan sekurang-kurangnya lagi 10,000 kehilangan tempat tinggal.

Bencana alam itu mencetuskan perbahasan seluruh negara mengenai perubahan iklim dan sama ada rumah-rumah yang mudah terjejas seharusnya dibina semula atau dirobohkan, lapor BBC.

“Saya tidak mahu pulang ke sana,” kata Cik Amy Bowkett.

Ibu kepada dua orang anak itu menetap di kawasan Hawkes Bay, iaitu salah satu kawasan yang paling teruk terjejas akibat Taufan Gabrielle. Apabila ribut Kategori 3 itu melanda dengan angin sekencang 159 kilometer sejam, rumahnya punah-ranah.

Bersama dengan 50 jirannya, mereka terperangkap selama 48 jam tanpa bekalan elektrik, air atau talian telefon.

Beliau akhirnya membuat panggilan telefon dan seorang kawannya pula mengaturkan helikopter untuk menyelamatkan mereka dari halaman jirannya.

“Saya rasa, jika kami mengalami banjir buat kali ketiga, ia seolah-olah kesilapan kami,” kata Cik Bowkett kepada BBC dari rumah ibunya di bandar berdekatan, Napier. “Melainkan kami mengapungkan rumah kami, saya akan berasa takut setiap kali ia hujan.”

Bukan beliau sahaja yang takut untuk pulang ke rumah. Ramai mangsa banjir yang melanda New Zealand baru-baru ini, turut kehilangan semua harta benda mereka dalam bencana itu dan berasa kawasan di mana rumah mereka dibina terlalu berbahaya untuk mereka pulang ke sana.

Kerosakan akibat bencana alam itu diramalkan sekitar NZD$13.5 bilion (S$11.3 bilion), serupa dengan kesan gempa bumi yang berlaku di Christchurch pada 2011 – bencana alam yang menyebabkan kerugian tertinggi dalam sejarah New Zealand.

Kejadian pada bulan lalu itu mencetuskan keadaan darurat di seluruh negara berkenaan yang hanya ditarik balik pada Selasa (14 Mac).

Taufan Gabrielle juga melanda dalam masa beberapa minggu selepas bandar terbesar di New Zealand, Auckland, dinaiki air bah apabila hujan seluruh musim panas melanda dalam masa sehari.

Menteri Perubahan Iklim New Zealand, James Shaw, berkata skala bencana itu disebabkan oleh perubahan iklim yang menjadi lebih dahsyat akibat kenaikan suhu global.

Sekitar 55,000 rumah di Auckland berisiko dilanda banjir, menurut data pemerintah.

Lagi 76,000 rumah di seluruh negara terletak di kawasan pantai dan mudah terjejas oleh penghakisan dan kenaikan paras air laut.

“Apabila penduduk meninggalkan jaket keselamatan di pintu, anda tahu, keadaan teruk,” kata penduduk barat Auckland, Morgan Allen, yang kehilangan tempat tinggal.

“Kegelisahan sudah sampai ke paras kemuncaknya.”

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan