Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mangsa pemeriksaan 'keterlaluan' di lapangan terbang Doha akan saman Qatar

Sekumpulan wanita yang menjalani pemeriksaan sakit puan atau ginekologi keterlaluan di lapangan terbang Doha akan memfailkan saman terhadap pihak berkuasa Qatar, menuntut ganti rugi atas pengalaman yang mencetuskan kecaman global, kata peguam mereka kepada AFP.

Anggaran Waktu Membaca:

SYDNEY: Sekumpulan wanita yang menjalani pemeriksaan sakit puan atau ginekologi keterlaluan di lapangan terbang Doha akan memfailkan saman terhadap pihak berkuasa Qatar, menuntut ganti rugi atas pengalaman yang mencetuskan kecaman global, kata peguam mereka kepada AFP.

Wanita dalam 10 penerbangan Qatar Airways dari Doha, termasuk 13 warga Australia menjalani pemeriksaan berkenaan akhir tahun lalu ketika pihak berkuasa mengesan ibu kepada bayi baru lahir yang ditinggalkan di bilik air lapangan terbang itu.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan dan kebimbangan mengenai layanan Qatar terhadap wanita ketika negara Teluk itu bersiap sedia menerima ribuan pelawat asing bagi Piala Dunia 2022.

Damian Sturzaker, dari firma Marque Lawyers yang berpangkalan di Sydney, berkata tujuh penumpang terjejas kini merancang mengambil tindakan undang-undang sebagai "menghantar mesej kepada pihak berkuasa Qatar supaya tidak melayan wanita dengan cara sedemikian".

"Kumpulan wanita itu melalui pengalaman yang memeritkan dalam kejadian itu dan selepas lebih setahun berlalu, mereka terus mengalami kesan teruk dan trauma akibat apa yang berlaku," katanya kepada AFP.

Menurutnya lagi kumpulan wanita berkenaan menuntut permohonan maaf secara rasmi, pampasan dan jaminan perlindungan bagi penumpang yang singgah di lapangan terbang tersebut.

Qatar mengenakan hukuman penjara ke atas individu yang melahirkan anak luar nikah.

Menjelang Piala Dunia, negara itu bergelut untuk meyakinkan umum tentang janjinya mengenai hak wanita, hubungan buruh dan demokrasi.

Ekoran kejadian itu, Qatar berikrar untuk menjamin keselamatan penumpang pada masa akan datang.

Perdana Menteri negara itu juga mengeluarkan permohonan maaf, manakala seorang pegawai polis lapangan terbang yang terbabit dalam kes pemeriksaan badan itu dilaporkan sudah dikenakan tindakan.

Bagaimanapun Encik Sturzaker berkata kumpulan wanita itu tidak dimaklumkan mengenai sebarang perubahan pada prosedur lapangan terbang dan percubaan mereka untuk mendapatkan rundingan tidak berjaya.

"Mereka kini mahu mengetengahkan kes mereka menjelang kejohanan FIFA, untuk memastikan pelancong lain mendapat maklumat jelas sebelum melawat Qatar," katanya.

Kedutaan Qatar di Canberra dan Qatar Airways masih belum mengulas berhubung perkara itu.

Encik Sturzaker berkata tuntutan mahkamah akan difailkan di Australia terhadap Penguasa Penerbangan Awam Qatar, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Qatar Airways dan kerajaan negara itu dalam beberapa minggu lagi. 

Sumber : AFP/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan