Mangsa kongsi tangkapan skrin perbualan & gambar lucah Ebit Lew, dedah saksi

Pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew hadir di Mahkamah Majistret Tenom pada 27 September 2022 untuk perbicaraan kes gangguan seksual. (Gambar fail: BERNAMA)
TENOM: Perbicaraan kes Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew bermula pada Selasa (27 Sep) dengan Mahkamah Majistret di Tenom mendengar keterangan pakar motivasi yang membantu seorang mangsa gangguan seksual membabitkan pendakwah selebriti itu.
Mohd Fairuz Abu, 37 tahun, memberitahu mahkamah bahawa seorang wanita yang menggunakan nama samaran menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp selepas beliau memuat naik hantaran mengenai seorang pendakwah terlibat dalam kes gangguan seksual di laman sosial Facebook pada 26 Julai tahun lalu.
"Pada awalnya, beliau tidak memperkenalkan diri dan menyebut namanya. Beliau bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam hantaran itu.
"Apabila saya sebut hantaran itu berkaitan Ebit Lew maka wanita tersebut terus berkongsi tangkapan skrin perbualan Ebit Lew dengannya dan juga gambar lucah yang diberi oleh Ebit melalui WhatsApp," katanya di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria.
Saksi itu berkata beliau turut menghantar tangkapan skrin yang dikongsi mangsa kepada individu bernama Firdaus Wong yang sedang mengendalikan kes sama membabitkan tertuduh dan wanita lain.
Ketika ditanya oleh Cik Zahida tentang tindakan selepas menghantar tangkapan skrin itu kepada Wong, Encik Mohd Fairuz berkata pada 27 Julai tahun lalu, beliau menghubungi wanita tersebut menerusi panggilan telefon untuk mendengar kronologi penuh gangguan terhadapnya.
"Pada awalnya, beliau takut-takut dan berasa tidak selamat untuk berkongsi namun selepas saya menenangkannya, barulah beliau kongsikan dari A-Z, daripada awal hingga akhir.
"Saya mencadangkan kepada wanita itu untuk membuat laporan polis tetapi beliau takut dan berkata 'saya ni orang kecil saja. Ebit Lew orang besar. Jadi saya tak nak buat laporan," katanya.
Encik Mohd Fairuz berkata wanita itu kemudian meminta tempoh untuk berbincang dengan suaminya sebelum membuat aduan polis pada 7 Ogos tahun lalu.
Saksi itu berkata beliau pernah bertemu secara peribadi dan mampu mengecam wanita tersebut yang hadir di mahkamah dengan kawalan ketat.
Pendakwah selebriti itu berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an tahun dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lalu.
Lew, 37 tahun, didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.