Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mangsa gempa Indonesia rayu bantuan makanan, minuman

Anggaran Waktu Membaca:
Mangsa gempa Indonesia rayu bantuan makanan, minuman

(Gambar: ADEK BERRY / AFP)

Diterbitkan : 24 Nov 2022 07:56AM Dikemas Kini : 24 Nov 2022 08:04AM
CIANJUR: Penduduk yang terselamat daripada gempa bumi Indonesia yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 268 orang, memohon bantuan makanan dan minuman pada Rabu (23 Nov).

Pasukan penyelamat terus bertungkus lumus menjalankan operasi pencarian di kawasan kampung yang musnah meskipun harapan untuk menemui mangsa yang terselamat, semakin tipis

Rayuan bantuan itu dibuat selepas pihak berkuasa memberi amaran sisa daripada tanah runtuh disebabkan oleh gempa berhampiran bandar Cianjur di Jawa Barat, perlu dibersihkan sebelum hujan lebat diramalkan berlaku dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Dua hari selepas bencana itu, penduduk masih lagi mencari barangan berharga milik mereka termasuk gambar keluarga, buku agama dan sijil nikah.

"Meskipun beberapa bekalan sudah sampai, ia tidak cukup. Kami terima beras, mi segera, air mineral tetapi ia tidak cukup," kata Mustafa, seorang penduduk kampung Gasol, 23 tahun kepada AFP.

Beliau sudah menggali di kawasan runtuhan rumah jirannya selepas diminta berbuat demikian oleh jirannya itu.

Lelaki itu hanya menjumpai pakaian sebelum mengambil beras, dapur gas dan kuali.

"Kami tidak ada pakaian dan belum tukar baju sejak beberapa hari, jadi saya mencari dalam runtuhan untuk mendapatkan pakaian."

Pemerintah Indonesia sudah menghantar khemah dan bekalan keperluan lain ke Cianjur untuk mangsa yang hilang tempat tinggal.

Namun, ada penduduk merayu pemerintah supaya menghantar lebih banyak bantuan kerana jumlahnya tidak mencukupi.

"Anak saya deman dan dia tidak boleh makan. Ada banyak kanak-kanak dan warga emas di sini. Kanak-kanak memerlukan susu, lampin, makanan dan ubat," kata Yunisa Yuliani, 30 tahun.

Indonesia sering mengalami kejadian tanah runtuh dan banjir kilat pada musim hujan yang sudah bermula dan dijangka mencapai kemuncaknya pada Disember di Jawa Barat.

Hujan lebat diramalkan di Cianjur dalam beberapa minggu akan datang.

Agensi meteorologi Indonesia memberi amaran bahawa satu lagi bencana mungkin berlaku di Cianjur, beberapa hari selepas gempa bumi pada Isnin.

"Kami harus kekal berwaspada terhadap potensi bencana kedua seperti tanah runtuh," kata Dwikorita Karnawati, Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik semasa sidang media pada Selasa.

Selain itu, ia menyatakan terdapat 145 gempa susulan, dengan magnitud antara 1.2 hingga 4.2
Sumber : AFP/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa