Skip to main content

Dunia

Mangsa gempa bumi di Palu sambut Ramadan dengan rumah baharu dibina pemerintah Indonesia

Hampir tujuh tahun lalu bencana maut melanda kampung halamannya, Masdar Yusi menyambut bulan suci Ramadan di rumah baharunya.

Anggaran Waktu Membaca:
Mangsa gempa bumi di Palu sambut Ramadan dengan rumah baharu dibina pemerintah Indonesia

Pemandangan di Palu, Wilayah Sulawesi Tengah, Indonesia. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 07 Mar 2025 12:54AM Dikemas Kini : 07 Mar 2025 12:56AM
PALU: Hampir tujuh tahun lalu bencana maut melanda kampung halamannya, Masdar Yusi menyambut bulan suci Ramadan di rumah baharunya.

Warga Indonesia itu berlindung di tempat perlindungan sementara sejak rumahnya musnah akibat gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter.

Dia dan keluarganya bernasib baik kerana mereka adalah antara yang terselamat dalam tragedi yang melanda wilayah Sulawesi Tengah pada September 2018.

Gempa bumi itu mencetuskan tsunami dan tanah runtuh, mengorbankan lebih 5,000 orang dan menyebabkan ribuan yang lain kehilangan tempat tinggal. Ia merupakan gempa bumi paling dahsyat pernah melanda Indonesia sejak 2006.

Ibu kota wilayah Sulawesi Tengah iaitu Palu masih dalam proses pembinaan sejak bencana itu, yang memusnahkan sebahagian besar infrastruktur bandar tersebut.

Antara mercu tanda yang turut terjejas ialah Masjid Terapung Palu, juga dikenali sebagai Masjid Arqam Babu Rahman - ikon bandar yang kini tidak lagi digunakan selepas sebahagiannya tenggelam.

Kawasan pantai Palu kini dilindungi oleh benteng dan jalan bertingkat yang direka sedemikian rupa untuk melindunginya daripada kesan dahsyat tsunami jika bencana itu berlaku pada masa akan datang.

KAWASAN PERUMAHAN BAHARU

Tidak jauh dari pantai, sebuah masyarakat baharu muncul di pinggir Palu.

Kawasan perumahan Talise dibina oleh pemerintah Indonesia untuk para mangsa yang terselamat daripada bencana itu, seperti Masdar.

Lelaki berusia 60 tahun itu menerima kunci rumah baharu keluarganya kira-kira dua bulan lalu dan sangat gembira kerana akhirnya dapat menyambut Ramadan di rumahnya sendiri.

Ramadan juga merupakan masa untuk bermuhasabah, dengan ramai mangsa gempa bumi memohon ketenangan dalam doa mereka untuk dikurniakan keselamatan dan kemakmuran dalam menghadapi kesukaran.

Masdar memberitahu Mediacorp: “Isteri saya berkata pada saya bahawa apa yang penting ialah tidak memilih lokasi rumah, ambil sahaja apa sahaja blok yang diberikan kepada kami. Nasib baik semasa undian saya dapat blok X unit nombor 11.

"Alhamdulillah, saya bersyukur - walaupun rumah itu belum siap sepenuhnya, saya tetap gembira dapat tinggal di sini bersama isteri saya."

Lebih 540 rumah telah dibina di kompleks Talise. Ia adalah satu daripada lima taman perumahan kekal yang dibina di bandar untuk mangsa yang terselamat.

Selain menyediakan rumah baharu, pihak berkuasa juga telah membangunkan ruang rekreasi seluas 4.5 hektar yang berfungsi sebagai hab masyarakat untuk para penduduk.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Achmad, berkata untuk mendapatkan sebuah unit di Talise bukan mudah. Rumah lelaki berusia 38 tahun itu yang terletak berhampiran pantai musnah akibat tsunami.

“Kesukarannya ialah semua dokumen perlu sepadan dengan tanah yang kami miliki. Sijil tanah mestilah atas nama anda sendiri,” katanya sambil menambah beberapa dokumennya musnah.

“Memang susah, tapi kami tetap berusaha, dan ya, alhamdulillah, Allah kurniakan kepada kami. Yang penting kita tidak malas mencuba.”
Sumber : CNA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita