Mangsa banjir Terengganu, Kuantan terus meningkat
Situasi banjir di Terengganu semakin buruk dengan bilangan mangsa meningkat seramai lebih 1,600 orang setakat jam 8.00 pagi ini (14 Dis), berbanding 950 orang malam tadi.
Keadaan di jalan raya akibat banjir di Kuantan. (Gambar: BERNAMA)
KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di Terengganu semakin buruk dengan bilangan mangsa meningkat seramai lebih 1,600 orang setakat jam 8.00 pagi ini (14 Dis), berbanding 950 orang malam tadi.
Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) baru dibuka menjadikan jumlah keseluruhan PPS beroperasi sebanyak 19 tempat di tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu.
Menurut portal Info Bencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hulu Terengganu terus merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 1,161 orang berbanding 645 orang malam tadi (13 Dis) di sembilan PPS diikuti Kemaman seramai 448 orang berbanding 292 orang malam tadi (sembilan PPS).
(Gambar: BERNAMA)
Di Setiu, jumlah mangsa kekal 13 orang yang ditempatkan di satu PPS.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menerusi portal yang sama melaporkan tiada paras air sungai yang melepasi paras bahaya setakat pagi ini (14 Dis).
Namun, ketinggian paras air di beberapa stesen bacaan sungai utama masih melepasi tahap amaran seperti Sungai Besut, Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu; Sungai Dungun, Sungai Kemaman, Sungai Marang, Sungai Setiu dan Sungai Nerus.
KEADAAN BANJIR DI KUANTAN
Jumlah mangsa banjir di Kuantan yang ditempatkan di tujuh PPS turut meningkat kepada 435 orang pagi ini (14 Dis) berbanding 335 orang malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Zainal Yusof berkata sehingga jam 8.00 pagi, jumlah mangsa membabitkan 110 keluarga.
“Mangsa paling ramai ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating sebanyak 128 orang diikuti SK Kempadang (77 orang), SK Sg Karang (64 orang).
“SK Beserah pula (63 orang), SK Sungai Isap Murni (47 orang), Dewan Orang Ramai Balok (31 orang) dan SK Sungai Ular (25 orang),” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.