Mangsa banjir Pontian sambut Aidilfitri di PPS
(Gambar: BERNAMA)
PONTIAN: Pengalaman mengalami banjir saban tahun mungkin menjadi kebiasaan buat penduduk Kampung Sri Gambut di Pontian, namun mengharungi banjir tatkala Aidilfitri memberi sedikit kesan kepada mereka apabila terpaksa beraya di pusat pemindahan sementara (PPS).
Tinjauan Bernama hari ini (4 Mei) mendapati beberapa rumah di kampung tersebut ditenggelami air sedalam paras pinggang dan mereka yang terjejas sudahpun dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu Raya.
Suri rumah, Miskiah Kundari, 59 tahun, ketika ditemui di PPS berkenaan berkata beliau dan ahli keluarganya resah apabila hujan turun agak lama sejak awal pagi tadi dan paras air mula meningkat sedikit demi sedikit.
"Sedih jugalah, kita selalu hadapi banjir cuma tidaklah saat Aidilfitri...saya harap air cepat surut kerana kesian kepada anak-anak mahu beraya," katanya yang memiliki tiga orang anak.
Susiah Zainal Abidin, 41 tahun, berkata beliau bersama empat ahli keluarga turut terkesan kerana terpaksa beraya dalam keadaan banjir, namun reda dengan situasi itu.
Meskipun diuji, Susiah bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dan kemudahan di PPS mencukupi termasuk bekalan makanan.
"Awal pagi tadi kawasan rumah sudah dikelilingi air dan memasuki bahagian dapur. Alhamdulillah air naik tidak terlalu cepat, jadi kami sempat memindahkan barangan ke bahagian atas rumah,” katanya.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pontian, setakat ini 19 orang daripada empat keluarga di Kampung Sri Gambut sudah dipindahkan ke PPS SK Kampung Melayu Raya akibat banjir selepas hujan lebat lebih dua jam bermula 3.30 pagi tadi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.