Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mangsa banjir Johor akan terima 5 jenis bantuan, wang tunai

Anggaran Waktu Membaca:
ISKANDAR PUTERI: Johor mengumumkan hampir 85,000 penduduk di negeri itu yang terjejas banjir baru-baru ini akan menerima lima inisiatif bantuan daripada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu termasuk pengecualian bayaran RM250 (S$75) bagi penggantian dokumen penting seperti geran yang hilang dan rosak disebabkan banjir, lapor Astro Awani.

Katanya lagi, bantuan lain adalah pemberikan diskaun 40 peratus bagi pembayaran bil air bagi bulan Mac dan April oleh Syarikat Ranhill SAJ hasil persetujuan dan perbincangan bersama kerajaan negeri.


"(Selain itu) Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) berjumlah RM2,500 (S$753) akan mula disalurkan secara berperingkat mulai awal April ini. Bantuan akan diberikan kepada setiap Ketua Isi Rumah (terjejas banjir) yang melibatkan peruntukan berjumlah RM60.3 juta (S$18.1 juta)."

"Pembayaran Bantuan Wang Ihsan Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan selesai pada bulan Mac, kecuali daerah Batu Pahat dan Daerah Segamat yang dijangka selesai pada awal April kerana bilangan penerimanya jauh lebih ramai daripada daerah-daerah lain," kata Encik Onn Hafiz.

"Bantuan RM1,300 (S$392) untuk setiap Ketua Isi Rumah ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM34.2 juta (S$10.3 juta)."

"Selain itu, moratorium pinjaman untuk mangsa banjir sehingga enam bulan telah diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 7 Mac lalu melibatkan hampir semua bank," tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa Sesi Penggulungan Mesyuarat Keempat, Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-15 di Iskandar Puteri pada Isnin (27 Mac).

Banjir pada hujung Februari lalu di Johor menyebabkan hampir 85,000 mangsa terjejas di seluruh negeri itu, dengan Segamat dan Batu Pahat mencatat bilangan mangsa tertinggi.

Banjir di Batu Pahat pulih sepenuhnya pada Ahad (26 Mac).
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan