Mangsa banjir di Terengganu, Kelantan, Johor & Perak semakin meningkat
Seorang penduduk Kampung Kubang Kual menggunakan perahu untuk urusan mendaftar masuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kubang Kual, Kelantan ekoran rumah mereka ditenggelami air hujan lebat berterusan sejak 9 Disember 2022. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan, Johor dan Perak meningkat setakat pukul 8.00 malam pada Ahad (11 Dis), manakala Pahang mencatatkan penurunan kepada 561 mangsa berbanding 581 orang di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) petang Ahad.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan daerah Temerloh masih mencatatkan bilangan mangsa tertinggi, iaitu 383 orang, diikuti Lipis (83 orang), Raub (48), Bera (27) dan Jerantut (20).
Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 593 orang daripada 151 keluarga berbanding 546 orang daripada 137 keluarga petang tadi.
Sekretariat JBPN Terengganu dalam kenyataan memaklumkan Dungun menjadi daerah baru dilanda banjir selain Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Kemaman dengan keseluruhannya 10 PPS dibuka.
Kemaman masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai, iaitu 282 orang, yang ditempatkan di tiga PPS, manakala 220 lagi di dua PPS di Kuala Nerus.
Di Kuala Terengganu, 48 mangsa ditempatkan di dua PPS, diikuti Dungun iaitu 39 orang di dua PPS dan Setiu menyaksikan empat mangsa di satu PPS.
Di Kelantan, empat PPS di Rantau Panjang, Pasir Mas kini menempatkan 1,049 orang daripada 341 keluarga terjejas membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh (590 orang), SK Gual Periok (282), PPS Putat Tujoh (83) dan SK Kubang Gual (94).
Di Johor, jumlah mangsa banjir di PPS di Segamat meningkat kepada 27 orang berbanding 22 pada pukul 12.00 tengah hari.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan mangsa terdiri daripada sembilan keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak serta Kampung Batu 5 dan kini ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak manakala banjir dipercayai berlaku susulan limpahan air Sungai Muar.
Data Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan bacaan paras air Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat melepasi paras bahaya dengan bacaan 20 meter manakala Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat berada pada aras amaran iaitu 8.87 meter.
Di Perak, PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART) di Teluk Intan menyaksikan peningkatan mangsa banjir selepas dibuka pada Jumaat (9 Dis).
Menurut Sekretariat JPBN Perak, mangsa banjir meningkat daripada 117 kepada 125 orang melibatkan 29 keluarga dan antara kawasan terlibat ialah Kampung Batu 7, Batu 8 dan Batu 9 di Changkat Jong dalam daerah Hilir Perak.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dijangka berlaku di Terengganu dan beberapa daerah di Kelantan hingga Isnin (12 Dis).
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan daerah terlibat di Kelantan ialah di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.
Manakala hujan berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku di daerah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan hingga Isnin.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 24 jam di beberapa kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Pahang dan Perak sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku.
JPS menerusi kenyataan pada Ahad menyebut ia berdasarkan makluman ramalan hujan oleh MetMalaysia, sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS.
Di Johor, kawasan berisiko ialah Mukim Api-Api, Mukim Ayer Baloi, Mukim Ayer Masin, Mukim Benut, Mukim Pontian, Mukim Rimba Terjun, Mukim Sungai Pinggan di daerah Pontian serta kawasan sekitarnya manakala di Negeri Sembilan, kawasan dijangka terlibat ialah Port Dickson (Pekan Lukut, Pekan Jemima, Mukim Si Rusa, Mukim Jimah serta kawasan sekitarnya).
Di Selangor, kawasan terlibat termasuk daerah Sepang (Mukim Sepang, Mukim Dengkil serta kawasan sekitarnya) dan Petaling (Pekan Batu Tiga, Bandar Shah Alam serta kawasan sekitarnya); daerah Kuantan (Bandar Kuantan, Mukim Kuala Kuantan, Mukim Sungai Karang dan kawasan sekitarnya), Lipis (Mukim Telang serta kawasan sekitarnya) dan Jerantut (Mukim Pulau Tawar, Mukim Hulu Cheka serta kawasan sekitarnya) di Pahang.
Di Perak kawasan berisiko termasuk daerah Larut, Matang dan Selama (Mukim Bukit Gantang, Mukim Sungai Limau, Mukim Pengkalan Aor, Mukim Jebong, Mukim Asam Kumbang serta kawasan sekitarnya) dan Kerian (Mukim Bagan Serai, Mukim Gunong Semanggol, Mukim Beriah, Mukim Kuala Kurau, Mukim Parit Buntar serta kawasan sekitarnya).
"Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut," menurut kenyataan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.