Mangsa banjir di Terengganu ini terpaksa tadah air hujan untuk mandi, berwuduk
(Gambar: BERNAMA)
KUALA BERANG: "Kami terpaksa guna limpahan air banjir berwarna kekuningan untuk mandi dan menadah air hujan untuk berwuduk. Walaupun tidak menghadapi masalah air minuman kerana mendapat bekalan air mineral, tetapi kami terpaksa berjimat bagi mengelak bekalan terputus," kata suri rumah, Azizah Othman, 63 tahun, dari Kampung Tadok, di Kuala Berang, lapor BH Online.
Azizah berkata, dia bersama ahli keluarganya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), selepas kediamannya di naiki air kira-kira jam 1 pagi Ahad lalu (27 Feb).
Beliau berkata, semua mangsa banjir yang di tempatkan di PPS terpaksa mencatu penggunaan air kerana bimbang bekalan yang ada tidak mencukupi, seperti dinukil BH Online.
"Mangsa banjir tidak berdepan masalah mendapatkan bekalan air bersih untuk minuman kerana dihantar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Rozi Mamat," kata beliau pada program penyampaian bantuan bakul makanan dan air bersih, pada Selasa (1 Mac).
Azizah mengakui banjir yang melanda daerah Hulu Terengganu adalah yang terburuk sejak tinggal di kampung berkenaan lebih 40 tahun lalu.
Seorang lagi mangsa, Siti Nur Suhaila Hassan, 38 tahun, berkata semua mangsa banjir terpaksa menadah air hujan untuk mengambil air sembahyang.
Kata beliau, mangsa banjir juga terpaksa menggunakan air sungai berlumpur dan berwarna kekuningan untuk mandi susulan bekalan air terputus sejak Isnin (28 Feb).
"Walaupun banjir sering melanda di beberapa kawasan di Kampung Tadok, tetapi kali ini banjir terburuk dan pengalaman pertama apabila terpaksa berpindah ke PPS.
"Bekalan air terputus menyebabkan kami tidak dapat mandi dan terpaksa menadah air hujan untuk mengambil wuduk sukar dilupai," kata beliau.
Sementara itu, Rozi berkata, pihaknya mengagihkan 36,000 botol air mineral ke semua PPS di daerah Hulu Terengganu, seperti dinukil BH Online.
Selain itu, kata beliau, bekalan air bersih juga turut dihantar badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa syarikat swasta.
"Bekalan air bersih dijangka pulih secara berperingkat mulai petang ini," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.