Skip to main content

Dunia

Mangsa banjir di Kelantan mohon bantuan melalui TikTok

Beberapa mangsa banjir di Kelantan didapati meminta bantuan menerusi media sosial TikTok untuk menyelamatkan keluarga mereka yang terperangkap di rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Mangsa banjir di Kelantan mohon bantuan melalui TikTok

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Dec 2024 10:58AM Dikemas Kini : 01 Dec 2024 10:59AM
KOTA BHARU: Beberapa mangsa banjir di Kelantan didapati meminta bantuan menerusi media sosial TikTok untuk menyelamatkan keluarga mereka yang terperangkap di rumah.

Hasil tinjauan Bernama di aplikasi media sosial itu pada Sabtu (30 Nov) mendapati seorang pengguna TikTok dengan nama Sufia Syahida menggunakan platform tersebut selepas buntu kerana masih tidak dapat menghubungi ibunya.

Menerusi satu catatan pada Jumaat (29 Nov), beliau berkongsi kali terakhir dapat menghubungi ibunya adalah pada jam 7.00 pagi apabila ibunya yang berusia 71 tahun ingin mengharungi air untuk mendapatkan bekalan makanan dan air bersih selepas terperangkap sejak dua hari lalu.

Berikutan itu, menerusi hantaran terbaharunya pagi tadi, Sufia memaklumkan dapat berhubung dengan seorang penduduk di kawasan berkenaan yang meminta gambar ibunya agar dapat mencari beliau di dua tempat selamat di mana para mangsa banjir berkumpul. 

Sufia Syahida berkata individu berkenaan berhubung dengannya menerusi TikTok.

“Kalau jumpa (ibu) dia akan maklumkan dan minta sesiapa ambilkan ibu saya keluar tapi arus deras dan dalam. Dan katanya lagi beras ada... cuma kehabisan lauk, terpaksa catu makanan. Dia kata tiada lagi apa-apa bantuan masuk ke sana,” rintih Sufia.

Seorang lagi pengguna TikTok dengan nama Syzmira.bakri berkata beliau membuat catatan mengenai ayah dan ibunya yang terperangkap di Kampung Bakong, Pasir Mas pada petang Jumaat (29 Nov).

Menurutnya, keluarganya itu berjaya diselamatkan bersama penduduk lain selepas lebih sehari terperangkap dan kini mereka tinggal di rumah saudara yang tidak terjejas banjir.

“Alhamdulillah, terima kasih hamba Allah yang bantu keluarkan mama dan abah saya dari rumah,” katanya dalam hantaran terbaharunya.

Sebelum itu, pengguna TikTok berkenaan membuat hantaran meminta bantuan dengan memuat naik beberapa keping gambar rumah ibu bapanya sudah dinaiki air yang mencapai paras lebih 0.5 meter.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita