Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mangsa banjir di Johor meningkat semula

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri itu setakat pukul 8.00 pagi tadi meningkat semula dengan empat lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak petang semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Azmi Rohani, berkata jumlah mangsa banjir terkini adalah seramai 2,511 orang daripada 697 keluarga, berbanding 2,191 orang daripada 610 keluarga, pada pukul 4.00 petang semalam, lapor BH Online.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata jumlah mangsa banjir yang meningkat membabitkan penduduk di Segamat, Mersing dan Batu Pahat.

Katanya, empat lagi PPS yang dibuka sejak semalam masing-masing satu di Segamat dan Mersing manakala dua di Batu Pahat, menjadikan sebanyak 33 PPS masih beroperasi.

"Mersing masih merekodkan mangsa banjir tertinggi setakat pagi tadi iaitu seramai 836 orang daripada 244 keluarga, berbanding 796 orang daripada 234 keluarga pada 4 petang semalam.

Semua mangsa banjir itu ditempatkan di tujuh PPS.

Batu Pahat pula kedua tertinggi dengan 694 mangsa daripada 194 keluarga dan ditempatkan di tujuh PPS di daerah itu berbanding 414 mangsa daripada 117 keluarga pada petang semalam," katanya, seperti yang dipetik BH Online.

Beliau juga berkata jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi dan Kluang yang masih berada di PPS tidak berubah sejak petang semalam seramai lebih 400 orang.

Selain dua daerah itu, katanya, jumlah mangsa banjir di Tangkak dan Muar juga tidak berubah sejak petang semalam dan masing-masing hanya membuka satu PPS.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, Johor masih dalam amaran waspada kerana dijangka mengalami hujan berterusan sehingga Isnin ini, terutamanya di Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian.

Setakat pukul 8.00 pagi tadi, semua daerah di Johor mengalami hujan, kecuali Johor Bahru dan Batu Pahat yang cuacanya hanya mendung.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan