Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mangsa banjir di Johor, Melaka, Pahang terus berkurangan

Anggaran Waktu Membaca:
Mangsa banjir di Johor, Melaka, Pahang terus berkurangan

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Jan 2022 09:42PM Dikemas Kini : 10 Jan 2022 09:43PM

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di tiga negeri yang terjejas iaitu Johor, Melaka dan Pahang bertambah baik sekali gus merekodkan penurunan jumlah mangsa setakat Isnin petang (10 Jan)

Di Johor, keadaan banjir semakin surut dengan jumlah mangsa terus berkurangan kepada 2,935 orang setakat 4 petang ini berbanding 3,161 orang, Isnin pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata empat daerah masih terjejas banjir melibatkan 37 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Segamat terus mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,089 orang, diikuti Muar (1,085), Tangkak (680) dan Batu Pahat (81).

Beliau berkata tiga PPS ditutup dengan dua daripadanya di Segamat iaitu Balai Raya Taman Suria dan Dewan Serbaguna Kampung Paya Pulai, selain Sekolah Menengah Kebangsaan Yong Peng di Batu Pahat berikutan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Bagaimanapun, orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada berikutan tiga sungai kekal di paras bahaya iaitu Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Sungai Muar di Liang Batu dan Sungai Muar di Bukit Kepong," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata cuaca di seluruh negeri ketika ini dilaporkan cerah.

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata mangsa banjir kini berjumlah 235 orang daripada 64 keluarga petang ini dengan kesemuanya masih ditempatkan di tiga PPS di Jasin.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 80 orang di dua PPS pada petang ini, berbanding 141 orang pagi tadi, menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri.

PPS terakhir di Maran yang menempatkan mangsa banjir gelombang kedua menamatkan operasi selepas kesemua 35 mangsa dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

Jumlah mangsa banjir juga menurun masing-masing di sebuah PPS di Pekan dan Rompin, ekoran lebih ramai mangsa mula pulang ke rumah selepas kediaman mereka siap dibersihkan.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan