Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mangsa banjir di Johor kian meningkat, Mersing paling teruk terjejas

Anggaran Waktu Membaca:
Mangsa banjir di Johor kian meningkat, Mersing paling teruk terjejas

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menyampaikan sumbangan kepada para mangsa banjir ketika hadir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, Segamat pada 26 Januari 2023. (Gambar: BERNAMA)

OHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor kembali meningkat kepada 4,868 orang daripada 1,331 keluarga di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah terjejas, setakat pukul 8.00 pagi Jumaat (27 Jan). 

Ini berbanding hanya seramai 4,842 mangsa daripada 1,318 keluarga ditempatkan di 48 PPS pada pukul 10.00 malam Khamis (26 Jan), lapor Harian Metro.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dr Azmi Rohani, berkata Mersing kini menjadi daerah paling terjejas dengan 1,793 mangsa daripada 512 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS pada pagi Jumaat. 

Encik Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Tangkak adalah daerah terbaru dan kelapan terjejas banjir di negeri tersebut dengan 15 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Durian Chondong, di Kampung Pengkalan Kota pada pagi Jumaat.

"Kluang pula menjadi daerah kedua paling terjejas banjir dengan 1,173 mangsa daripada 321 keluarga berlindung di tujuh PPS, pagi ini (27 Jan) diikuti Kota Tinggi dengan 900 mangsa daripada 224 keluarga di 11 PPS.

"Segamat pula menunjukkan trend penurunan dengan 490 mangsa banjir daripada 138 keluarga berlindung di 11 PPS pagi ini, diikuti dengan Batu Pahat seramai 358 penduduk daripada 100 keluarga di enam PPS.

"Muar pula mencatatkan seramai 121 mangsa banjir daripada 29 keluarga yang berlindung di dua PPS, manakala Pontian kekal dengan 18 mangsa daripada empat keluarga yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya," katanya dalam kenyataan pada pagi Jumaat.

Dalam pada itu, Harian Metro melaporkan, Encik Azmi meminta masyarakat negeri Johor kekal berhati-hati berikutan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di enam daerah Johor. 

Katanya, enam daerah yang diramalkan mengalami hujan berterusan tahap waspada itu membabitkan Mersing, Kluang, Segamat, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Sebanyak lima laluan utama di Johor ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan - masing-masing dua di Mersing dan Segamat serta satu di Kulai, Harian Metro memetik kata-kata Encik Azmi.

Tambahnya, dua laluan yang ditutup sepenuhnya di Mersing membabitkan Jalan Nitar Timur - Pengkalan Batu (FT1425) yang dinaiki air bah dan Jalan Tanah Abang (J228) yang ditenggelami air banjir 0.5 meter.

"Dua laluan yang ditutup sepenuhnya di Segamat pula adalah Jalan Felda Medoi (FT1384) kerana dinaiki air sedalam 0.95 meter manakala Jalan Jabi - Bukit Tempurung (J156) ditenggelami air banjir sedalam 0.81 meter.

"Jalan Sungai Tiram-Ulu Tiram (J08) di Kulai masih kekal ditutup kerana kejadian tanah runtuh setinggi 12 meter di situ sekali gus tidak selamat digunakan," katanya.

Sementara itu, Encik Azmi berkata, empat sungai utama di Johor terus berada pada tahap bahaya membabitkan dua di Segamat dan masing-masing satu di Kluang dan Mersing.

"Sungai Muar, di Segamat mencatatkan paras bahaya 19.08 meter pagi ini, begitu juga lembangan Sungai Batu Pahat di Ladang Chaah, Segamat, pula mencatatkan paras bahaya 6.43 meter.

"Lembangan Sungai Endau di Kampung Contoh, Kluang, pula mencatatkan paras bahaya 15.42 meter pagi ini manakala Sungai Endau di Mersing turut merekodkan paras bahaya sedalam 2.83 meter," katanya.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan