Skip to main content

Dunia

Mangsa banjir di 6 negeri Malaysia merosot, kecuali Pahang

Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Perak dan Melaka terus berkurangan pada pagi Khamis (5 Dis) manakala tiada perubahan dicatatkan di Pahang.

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Perak dan Melaka terus berkurangan pada pagi Khamis (5 Dis) manakala tiada perubahan dicatatkan di Pahang.

Jumlah terkini mangsa banjir di tujuh negeri yang terjejas ialah 48,549 orang berbanding 52,596 orang pada Rabu malam (4 Dis) manakala kes kematian kekal tujuh orang.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di tiga kawasan terus merosot kepada 34,672 mangsa banjir di 87 PPS membabitkan 11,041 keluarga, berbanding 36,434 orang pada Rabu malam.

Menerusi Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Tumpat mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir iaitu 19,140 orang di 46 PPS diikuti Pasir Mas dengan seramai 15,491 orang di 39 PPS dan Bachok 41 orang ditempatkan di dua PPS. 

Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan hanya dua sungai utama di negeri itu kekal melepasi paras bahaya namun dalam trend menurun iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang (9.41 meter) dan Sungai Golok di Tumpat (3.60 meter).

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir terkini ialah 7,423 orang ditempatkan di 31 PPS di enam daerah terjejas berbanding 9,315 orang pada Rabu, menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Terengganu.

Jumlah mangsa banjir di Johor pula mencatatkan sedikit penurunan pagi tadi kepada 1,009 orang berbanding 1,034 orang pada Rabu malam, melibatkan 281 keluarga yang ditempatkan di 18 PPS.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Dr Azmi Rohani berkata 833 mangsa daripada 232 keluarga di Segamat ditempatkan di 16 PPS manakala di Tangkak pula, jumlah mangsa adalah 176 daripada 49 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula memaklumkan kebanyakan daerah di Perak antaranya Larut, Matang dan Selama, Kerian, Perak Tengah, Hilir Perak, Hulu Perak dan Kinta diramalkan mengalami ribut dan hujan pada sebelah petang dan malam ini.

Mangsa banjir di Melaka juga berkurangan sedikit kepada 160 mangsa daripada 41 keluarga pagi ini berbanding 162 mangsa daripada 42 keluarga malam tadi, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita