Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mangsa banjir di 3 negeri M'sia catat penurunan, Mersing pulih

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di tiga negeri terus mencatatkan penurunan setakat pukul 2.00 petang pada Sabtu (11 Mac).

Keadaan banjir di daerah Mersing, Johor kembali pulih.

Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan kesemua mangsa di daerah Mersing dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Menurut JPBN, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 44,779 orang setakat pukul 2.00 petang ini.

Berbanding 44,937 orang yang direkodkan pada pukul 8.00 pagi dengan 12,683 keluarga masih ditempatkan di 169 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.

“Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 39,951 orang daripada 11,169 keluarga; diikuti Muar dengan 2,534 orang (763 keluarga); Tangkak dengan 1,662 orang (597 keluarga); dan Segamat 632 orang (154 keluarga),” menurut kenyataan jawatankuasa itu.

Lapan sungai masih melepasi aras bahaya, antaranya Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada pada paras 19.67 meter (m); Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar (4.25m) dan Sungai Senggarang di Senggarang, Batu Pahat (3.53m).

Di Pahang, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin petang ini menurun sedikit kepada 170 orang yang ditempatkan di dua PPS berbanding 172 orang pagi tadi.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di Jasin menurun kepada 353 orang daripada 90 keluarga pada pukul 2.00 petang ini berbanding 380 orang daripada 99 keluarga pada pukul 8.00 pagi tadi.

Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS, antaranya di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat yang melibatkan 25 mangsa daripada tujuh keluarga.

“Seramai 122 orang daripada 29 keluarga ditempatkan di SK Parit Penghulu, 29 orang daripada 13 keluarga di SK Parit Gantong, 155 orang daripada 37 keluarga di SK Batu Gajah dan 22 orang daripada empat keluarga di SK Sungai Rambai,” menurut kenyataan itu.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan