Mampukah Muhyiddin Yassin kuasai Pagoh dari lawan yang pernah menjadi timbalannya?
Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14 berlangsung esok (28 Apr). Johor, tempat kelahiran parti UMNO, merupakan antara negeri yang menjadi sorotan kali ini.
JOHOR: Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14 berlangsung esok (28 Apr). Johor, tempat kelahiran parti UMNO, merupakan antara negeri yang menjadi sorotan kali ini.
Pagoh merupakan salah satu kawasan undi yang dianggap 'panas'.
Ini kerana dua rakan lama yang kini berlainan parti, Encik Ismail Mohamed dari UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Pakatan Harapan, bersaing di sana.
Mereka berkongsi wawasan masing-masing bagi kawasan itu dalam wawancara eksklusif bersama wartawan BERITAMediacorp Ahmad Dhafeer Zainodin.
Encik Ismail Mohamed, yang merupakan Pemangku Ketua UMNO Pagoh, pernah menjadi timbalan kepada Tan Sri Muhyiddin selama 10 tahun.
Sepanjang tempoh itu, banyak yang beliau pelajari dari mantan timbalan perdana menteri itu.
"Bila saya jadi timbalannya, dia beri peluang untuk bantu dia, kenal pasti apa jua pembangunan-pembangunan lain supaya saya dapat gerakkan," kata beliau.
Meskipun Encik Ismail menghormati sumbangan Tan Sri Muhyiddin yang kini menjadi presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), banyak kemajuan yang dicapai Pagoh sepanjang dua tahun kepimpinan beliau.
"Saya lihat masyarakat di Bukit Serampang memerlukan rumah, kedua meningkatkan pendapatan mereka. Saya dapat dari kerajaan negeri untuk bangunkan rumah mampu milik di Lengga dan juga untuk orang miskin yang tiada rumah," tambah Encik Ismail.
Penduduk Pagoh mahu kemajuan Pagoh terus dipergiat.
"Pembangunan masih diteruskan di Pagoh. Hab Universiti yang sedang dibina dan ada yang telah dibina. Banyak lagi ruang untuk diperbetulkan," kata penduduk Pagoh, Encik Ilham Iskandar Samsudin.
Segelintir pula mahukan kepimpinan yang sinonim dengan Pagoh kembali.
"Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin sudah hampir 40 tahun. Corak kepimpinan sudah biasa dengan penduduk Pagoh," kata Encik Hambali Mohamed pula.
Ini meskipun baju seragam parti Tan Sri Muhyidin sudah bertukar kepada warna merah, lambang Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
"Dahulu ini dikatakan kubu BN kerana saya menerajui di sana. Sekarang mereka melihat dalam perspektif yang baru. Saya ambil kesempatan untuk menjelaskan kepada mereka kenapa kita harus berubah, kenapa kita harus tinggalkan UMNO.
"UMNO tidak lagi berjuang seperti dahulu lagi. Masalah negara sampai ke tahap yang membimbangkan. Kemelut polituk dan ekonomi telah membawa kesan kepada mereka, dan mereka rasa sendiri," kata calon Pakatan Harapan di Pagoh itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.