Skip to main content

Dunia

Mampukah Bali menjadi tumpuan pelancongan perubatan seterusnya di Asia?

Indonesia sedang meningkatkan usaha untuk mengukuhkan industri pelancongan perubatannya dan mengurangkan jumlah rakyat yang mendapatkan rawatan di luar negara.
Anggaran Waktu Membaca:
Mampukah Bali menjadi tumpuan pelancongan perubatan seterusnya di Asia?
Lobi di Hospital Antarabangsa Bali yang terletak di Zon Ekonomi Khas Kesihatan Sanur. (Gambar: CNA)
BALI: Indonesia sedang meningkatkan usaha untuk mengukuhkan industri pelancongan perubatannya dan mengurangkan jumlah rakyat yang mendapatkan rawatan di luar negara.

Di tengah-tengah usaha itu adalah Zon Ekonomi Khas Kesihatan Sanur (SEZ), sebuah pembangunan baharu di pantai tenggara Bali.

Zon itu meliputi kawasan seluas lebih 41 hektar dan direka untuk menjadi destinasi pelancongan kesihatan bersepadu pertama di Indonesia.

Sekitar dua juta rakyat Indonesia ke luar negara setiap tahun untuk mendapatkan rawatan perubatan, dengan 74 peratus memilih Singapura dan Malaysia.

Mereka membelanjakan lebih 150 trilion rupiah (S$11.6 bilion) setiap tahun.

Jakarta berharap SEZ Sanur dapat membendung aliran wang yang keluar itu dengan menawarkan jagaan bertaraf dunia di tanah air sendiri.

Tumpuan utama pembangunan itu ialah Hospital Antarabangsa Bali, iaitu satu-satunya hospital dalam SEZ tersebut.

Meliputi kawasan seluas lebih 67,000 meter persegi, hospital itu menyediakan perkhidmatan pakar kardiologi, onkologi, neurologi, gastroenterologi, hepatologi dan ortopedik – diperkukuh melalui perkongsian dengan institusi dari Australia, Jepun dan Singapura.

Pakar-pakar antarabangsa dari seluruh dunia - termasuk doktor, jururawat dan karyawan kesihatan bersekutu - kini boleh menawarkan khidmat secara bertauliah di Indonesia, tetapi mereka terhad kepada SEZ Sanur buat masa ini.

"Ramai warga Indonesia yang ke luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan, mereka ke luar negara terutama sekali bagi mendapatkan khidmat pakar-pakar seperti ini," kata Ketua Komersial dan Operasi di Hospital Antarabangsa Bali, Noel Yeo.

MENANGANI ISU KEKURANGAN DOKTOR PAKAR

Dengan Indonesia berdepan kekurangan kira-kira 70,000 doktor pakar, pihak berkuasa berharap SEZ itu juga dapat bantu merapatkan jurang dan memikat rakyat Indonesia yang berkemahiran tinggi supaya pulang ke tanah air.

"Walaupun doktor-doktor Indonesia tidak kurang mahir, sistem jagaan kesihatan negara itu mungkin perlukan penambahbaikan," kata Rio Marnoto, seorang pakar bedah vaskular di Hospital Antarabangsa Bali.

Encik Marnoto yang merupakan seorang doktor di Indonesia yang mendapat latihan di Jerman berkata beliau sentiasa berhasrat untuk pulang ke tanah air, sambil berkata dahulu sukar bagi doktor-doktor seperti dirinya yang menjalani latihan di luar negara untuk bertugas di Indonesia.

"Mungkin kita boleh mengambil jalan pintas dengan membawa masuk pakar-pakar dari luar negara, terutama sekali mereka yang memahami Indonesia, untuk membantu kita menyesuaikan diri dengan sistem antarabangsa."
Sumber : CNA/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita