Mamdani hubungi Trump, kutuk serangan Venezuela
NEW YORK: Datuk Bandar New York Zohran Mamdani mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Trump pada Sabtu (3 Jan) untuk membantah secara peribadi serangan besar-besaran yang dijalankan oleh Amerika Syarikat di Venezuela dan penangkapan presidennya, Nicolas Maduro.
“Saya mengadakan perbualan telefon dengan Presiden (Trump) dan bercakap dengannya secara langsung untuk menyatakan bantahan saya terhadap tindakan ini,” kata Encik Mamdani pada Sabtu, seperti dipetik New York Times.
Beliau menambah bahawa beliau memberitahu Encik Trump bahawa beliau “menentang usaha perubahan rejim, yang melanggar undang-undang persekutuan dan antarabangsa.”
Datuk bandar itu enggan menjelaskan respons presiden tersebut.
Pegawai kanannya berkata bahawa Encik Mamdani mengadakan perbualan itu pada awal petang Sabtu dan ia diadakan secara “ringkas.”
“Saya telah meluahkan tentangan saya, saya telah menjelaskannya dan kami berhenti di situ,” kata Encik Mamdani, menurut laporan New York Times.
Rumah Putih belum segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk memberi komen mengenai perbualan telefon tersebut.
Kenyataan tersebut - dan kenyataan bertulis yang dikeluarkan sebelumnya - adalah kali pertama datuk bandar itu, seorang Democrat berhaluan kiri, membantah Encik Trump sejak memegang jawatan pada Khamis.
Namun, ia menimbulkan kemungkinan lebih banyak konflik akan berlaku pada hari-hari akan datang selepas Encik Maduro tiba di New York untuk menghadapi tuduhan dadah dan senjata di peringkat persekutuan di Manhattan.
Encik Mamdani mempunyai perbezaan pendapat dengan Presiden Trump, dan menggelarnya seorang “fasis.”
Namun selepas mereka mengadakan pertemuan yang tidak dijangka di Rumah Putih pada bulan November, Encik Mamdani lebih berwaspada agar tidak secara langsung mencetuskan kemarahan Encik Trump - termasuk dalam ucapan sulungnya minggu ini.
Encik Mamdani pada Sabtu (3 Jan) cuba menepis kesan bagaimana perbualan telefon itu mungkin menjejas hubungan itu.
“Presiden dan saya sentiasa jujur dan terus-terang antara satu sama lain tentang perkara yang tidak dipersetujui,” katanya.
“Penduduk New York telah memilih saya untuk bersikap jujur, terus-terang dan sentiasa berbuat demikian," tambahnya, seperti ditukil New York Times.
Encik Mamdani mungkin tidak akan mempunyai pengaruh yang besar terhadap apa yang berlaku kepada Encik Maduro dalam tahanan persekutuan, walaupun pemimpin dan kemungkinan perbicaraan diadakan dalam sempadan New York.
“Adalah menjadi tanggungjawab saya bahawa apa sahaja tindakan yang diambil oleh pentadbiran persekutuan, ia mempunyai kesan kecil terhadap kehidupan seharian penduduk New York,” katanya.
Encik Mamdani menjadi pengkritik lantang terhadap sokongan Amerika ke atas kempen ketenteraan Israel di Gaza, tetapi sebelum komennya pada Sabtu, beliau tidak banyak bercakap tentang Venezuela atau dasar Amerika di Amerika Latin.
Kedua-dua Encik Mamdani dan Encik Maduro mengenal pasti diri mereka sebagai sosialis, walaupun mereka tidak mempunyai hubungan.
Menyifatkan tindakan Amerika itu menyalahi undang-undang, Encik Mamdani menyuarakan pendapat ramai anggota Democrat lain.
Pemimpin lain dalam partinya menggelarkan Encik Maduro sebagai "diktator yang tidak sah," namun Encik Mamdani tidak mengulas mengenai rekod mahupun kedudukannya tentang Venezuela.
"Tindakan terang-terangan untuk merubah rejim ini bukan sahaja menjejas mereka di luar negara, malah ia memberi kesan langsung kepada penduduk New York, termasukberpuluh-puluh ribu rakyat Venezuela," kata datuk bandar itu dalam kenyataan bertulisnya.
"Tumpuan saya adalah keselamatan mereka dan keselamatan setiap penduduk New York, dan pentadbiran saya akan terus memantau situasi serta mengeluarkan panduan yang berkaitan," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.