Mamdani batal perintah eksekutif mantan Datuk Bandar New York
WASHINGTON: Pada hari pertama memegang jawatan, Datuk Bandar New York Zohran Mamdani menandatangani perintah eksekutif bagi membatalkan siri arahan yang dikeluarkan oleh pendahulunya, Eric Adams, termasuk langkah-langkah yang sebelum ini dikemukakan sebagai sokongan kepada Israel, lapor Agensi Anadolu (AA).
Menurut perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh Mamdani pada Khamis (1 Jan), semua arahan yang ditandatangani pada atau selepas 26 September 2024, dan masih berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2025 dibatalkan, manakala perintah eksekutif sebelumnya kekal berkuat kuasa melainkan dipinda atau dimansuhkan.
Langkah itu secara berkesan membatalkan beberapa perintah yang diluluskan oleh mantan Datuk Bandar Eric Adams, termasuk satu perintah yang dikuatkuasakan bulan lalu, yang melarang agensi bandar raya daripada memboikot atau menarik balik pelaburan dari Israel.
Satu lagi arahan ditandatangani pada Jun dibatalkan, yang menyokong definisi luas mengenai anti-Yahudi atau sentimen anti-Yahudi serta mengklasifikasikan bentuk kritikan tertentu terhadap Israel sebagai anti-Yahudi.
Bagaimanapun, Encik Mamdani tidak membubarkan Pejabat Memerangi Anti-Yahudi bandar raya itu yang ditubuhkan oleh pentadbiran sebelumnya dan ia akan terus beroperasi.
Perintah itu juga menyatakan bahawa ia tidak menjejas perintah eksekutif kecemasan yang sedang berkuat kuasa.
Menurut The New York Times, Pengarah Eksekutif Kesatuan Kebebasan Awam New York, Donna Lieberman berkata perintah yang dibatalkan itu dilihat sebagai langkah saat akhir yang bertujuan menyekat sudut pandangan yang tidak dipersetujui oleh datuk bandar sebelumnya.
Beliau menambah bahawa ia "bukan satu kejutan" apabila pentadbiran baharu bertindak membatalkannya.
"Hak untuk kebebasan bersuara tidak bergantung pada sudut pandangan anda, dan itu adalah benar bagi ucapan mengenai Israel atau Gaza, benar bagi aktivisme politik mengenai konflik itu, dan benar bagi mana-mana isu politik lain yang kita hadapi," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.