Malindo Air akan mohon maaf kepada penumpang, kata Menteri Pengangkutan M'sia
(Gambar fail: BERNAMA)
SHAH ALAM: Menteri Pengangkutan Malaysia mengarahkan pengurusan syarikat penerbangan Malindo Air untuk memohon maaf kepada semua penumpang yang ‘tersadai’ di lapangan terbang baru-baru ini.
Demikian menurut laporan Sinar Harian.
Encik Anthony Loke Siew Fook berkata, pihak Malindo Air akan menghubungi semua penumpang yang terjejas sebagaimana yang dinyatakan pihak syarikat itu ketika dihubungi beliau.
Encik Anthony memberi respons tersebut menerusi ciapan di akaun Twitternya pada Isnin (26 Dis), susuli aduan seorang pengguna Twitter, Mohd Firdaus Jailan yang juga merupakan penumpang yang terkesan.
"Salam Firdaus, saya dah hubungi pengurusan @malindoair. Mereka akan hubungi semua penumpang yang terjejas untuk memohon maaf dan mengambil tanggungjawab," katanya.
Pada Jumaat (23 Dis), Encik Firdaus menerusi hantaran di akaun Twitternya, meminta Encik Anthony melakukan tindakan segera mengenai pengurusan Malindo Air yang didakwa tidak menjaga kebajikan penumpang apabila pesawat yang dijadualkan untuk mereka tergendala lebih 8 jam.
Video rungutan individu tersebut juga tular di media sosial menyebabkan orang ramai turut membuat gesaan dan mahu kerajaan memberi perhatian tentang perkara tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.