Malaysia yakin rundingan dengan Amerika capai hasil yang saling memanfaatkan
Malaysia optimis rundingan dengan Amerika Syarikat berhubung tarif import dapat mencapai hasil yang memanfaatkan kedua-dua belah pihak.
Menteri Perdagangan dan Pelaburan Malaysia, Tengku Zafrul Abdul Aziz berucap di Forum Perniagaan dan Pelaburan Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru pada 21 April 2025. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Malaysia akan meneruskan perbincangan dengan pihak pentadbiran Amerika Syarikat sehingga 1 Ogos nanti, , lapor BH Online.
"Kita mendapat lanjutan perbincangan sehingga 1 Ogos ini. Ia sebenarnya soal masa. Kita perlukan lebih masa kerana perlu membabitkan semua pihak berkepentingan iaitu industri, agensi dan kementerian. Bukan mudah kerana ada isu-isu yang perlu dibincang secara lebih mendalam. Sebab itu kita minta lebih masa.
"Saya masih optimistik bahawa dengan lanjutan masa ini, kita boleh capai kesimpulan rundingan," katanya dalam satu temu bual bersama Bloomberg TV.
Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa perbincangan turut menjurus kepada sasaran sifar tarif kepada beberapa sektor tertentu.
"Sekarang ini perbincangan lebih kepada purata tarif. Namun saya masih optimistik untuk sektor tertentu, kita masih boleh bincang (sifar tarif).
"Contohnya, semikonduktor dan farmaseutikal masih dikecualikan daripada tarif 10 peratus yang diumumkan oleh Donald Trump. Jadi, kita berharap untuk kekalkan kadar sifar bagi eksport penting ke Amerika Syarikat, terutama semikonduktor," katanya, seperti yanf ditukil BH Online.
Menurut Tengku Zafrul lagi, selain isu mengenai semikonduktor dan eksport ke China membabitkan cip, perbincangan tertumpu lebih kepada isu pertanian. Ini kerana kedua-dua negara mempunyai standard pertanian yang berbeza.
Intipati lain perbincangan turut merangkumi pengiktirafan halal serta ekonomi digital, tambah beliau.
"Ini semua bukan isu tarif. Dari segi tarif, kita hampir selesai. Tarif kita ke Amerika Syarikat memang sudah rendah, purata tarif dikenakan sekitar 5.6. Sebab itu saya masih optimistik. Namun, ia masih tertakluk kepada persetujuan Amerika Syarikat. Rundingan masih berjalan," katanya.
Mengulas berhubung kesan tarif Amerika Syarikat ke atas ekonomi Malaysia, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) masih membuat analisis berdasarkan konsensus.
Menurut beliau, unjuran impak bermungkinan adalah pada 50 hingga 100 mata asas bagi tahun ini. Namun, ia bergantung kepada sama ada tarif 25 peratus dikenakan kepada semua negara dan sektor, lapor BH Online.
"Buat masa ini, ada sektor yang dikecualikan seperti farmaseutikal, semikonduktor dan mineral strategik. Jadi anggaran itu berdasarkan andaian tertentu.
"Adakah Malaysia dijangka mengalami kemelesetan? Jawapan saya adalah tidak. Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih antara 5.0 hingga 5.5 peratus.
"Jadi, buat masa ini, sasaran KDNK antara 4.5 hingga 5.5 peratus masih kekal. Namun, kita tunggu akhir Julai atau awal Ogos untuk unjuran yang dikemas kini daripada BNM dan Kementerian Kewangan bagi 2025 dan 2026," katanya.
Di samping itu, Tengku Zafrul turut menyatakan, di sebalik konflik tarif itu, Malaysia akan melaksanakan langkah untuk mempelbagaikan pasaran, bukan sahaja kepada pasaran baharu, tetapi memperluaskan capaian pasaran sedia ada.
"Kita juga bantu pengeksport tempatan. Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) baru-baru ini umumkan sokongan tambahan kepada pengeksport dari segi galakan eksport.
"Dan yang paling penting, kita perlu pastikan syarikat Malaysia kekal berdaya saing, terutama dalam sektor di mana kita ada kelebihan," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.