Skip to main content

Dunia

Malaysia usul semak semula operasi UNHCR jika enggan perketat saringan pelarian

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia usul semak semula operasi UNHCR jika enggan perketat saringan pelarian

Pelarian Rohingya menaiki sebuah lori selepas ditahan polis di hadapan pejabat UNHCR di Kuala Lumpur pada Isnin (27 Jul). (Gambar: Reuters/Hasnoor Hussain)

Diterbitkan : 29 Jul 2026 12:57PM
KUALA LUMPUR: Malaysia mahu mengkaji semula operasi Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) di negara itu jika badan berkenaan enggan bekerjasama untuk memperketat proses saringan pelarian ketika mengeluarkan dokumen.

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata kerajaan, menerusi Kementerian Dalam Negeri, sedang berusaha memastikan proses saringan pelarian dijalankan secara bersama oleh UNHCR dan pihak berkuasa tempatan.

"Kami mahukan kerjasama dan saringan yang ketat. Jika mereka tidak mahu bekerjasama, pada pandangan saya, sudah tiba masanya kita menyemak semula kehadiran UNHCR di negara ini supaya kita tidak terus dibebankan," kata beliau seperti dipetik Bernama.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas pihak berkuasa menahan lebih 100 pencari suaka Rohingya yang berkumpul di luar pejabat UNHCR di Kuala Lumpur bagi mendapatkan bantuan selepas diusir dari kediaman mereka di Pulau Pinang.

Menurut Encik Mohamad Hasan, kehadiran pejabat UNHCR di Kuala Lumpur turut menarik lebih ramai pelarian, termasuk etnik Rohingya, untuk memasuki Malaysia.

UNHCR menyatakan pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi melindungi pelarian Rohingya yang ditahan serta mengesahkan dokumen mereka.

Agensi itu memaklumkan usaha tersebut membolehkan mereka dipindahkan ke penempatan sementara sementara proses seterusnya diteruskan.

Menurut Bernama, semua pelarian Rohingya yang ditahan memiliki dokumen UNHCR yang sah dan ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

Sementara itu, Amnesty International Malaysia menggesa supaya pelarian dan pencari suaka dilayan dengan bermaruah serta selaras dengan hak asasi manusia.

Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian PBB dan menganggap pencari suaka sebagai pendatang asing tanpa izin.

Setakat sehingga akhir Februari lalu, UNHCR merekodkan kira-kira 126,000 pelarian Rohingya berdaftar di Malaysia.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita