Malaysia uji sistem NIISe di pintu masuk Johor; rakyat SG boleh gunakannya mulai 22 Sep
Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia akan melaksanakan percubaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor bermula 22 September hingga 28 Februari tahun depan.
Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar. (Gambar fail: CNA/Zamzahuri Abas)
KDN dalam kenyataannya pada Rabu (17 Sep) memaklumkan bahawa percubaan sistem itu turut dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan Terminal 2, Bayan Lepas, Kuching serta Kota Kinabalu secara berperingkat sepanjang tempoh yang sama.
Menurut KDN, sepanjang tempoh percubaan NIISe dijalankan, sistem Kod QR dan aplikasi MyBorderPass sedia ada masih diteruskan untuk proses kemasukan dan pelepasan imigresen.
“Walau bagaimanapun, orang ramai termasuk pelawat asing digalakkan untuk memuat turun aplikasi MyNIISe bagi tujuan proses kemasukan dan pelepasan imigresen di laluan pintu masuk yang telah diaktifkan penggunaannya sepanjang tempoh percubaan ini,” menurut kenyataan tersebut.
Orang ramai turut diingatkan dokumen perjalanan atau pasport yang sah masih diperlukan untuk proses kemasukan dan pelepasan imigresen menggunakan sistem MyNIISe mengikut ketetapan Akta Imigresen 1959/63.
Sistem NIISe adalah satu daripada inisiatif utama di bawah agenda reformasi kerajaan dan pelaksanaannya dipercepatkan daripada jadual asal iaitu Mac 2026.
Pada akhir tempoh percubaan, sistem NIISe akan menggantikan sistem kod QR sedia ada bagi meningkatkan dan menaik taraf kecekapan sistem pemeriksaan keselamatan automatik di pintu masuk negara.
Aplikasi MyNIISe boleh dimuat turun melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.