Malaysia tuntut pampasan lebih RM1 bilion daripada firma Norway selepas kontrak peluru berpandu dibatal
Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamed Khaled Nordin, menyampaikan ucapan semasa sesi pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Kuala Lumpur pada 31 Okt 2025. (Gambar: Reuters/Dita Alangkara menerusi Pool)
Menurutnya, kerajaan Malaysia menuntut kos langsung dan tidak langsung menyusuli keputusan Norway menarik balik lesen eksport bagi sistem pertahanan itu.
Beliau berkata, Malaysia sudah membuat bayaran €126 juta (S$187.5 juta), iaitu 95 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak, sebelum lesen itu dibatalkan, menurut agensi berita Free Malaysia Today.
“Kami tuntut kos langsung dan tidak langsung. Kos langsung berjumlah €126 juta, iaitu jumlah yang telah kami bayar kepada mereka.
“Kita juga tuntut kos tak langsung membabitkan jumlah besar, seluruh tuntutan itu berjumlah kira-kira RM1 bilion (S$321.8 juta),” katanya, menurut Bernama selepas meninjau kemajuan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) di Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.
Menurut laman web syarikat pengeluar peluru berpandu Kongsberg Defence & Aerospace, ia memeterai kontrak perolehan NSM bernilai €124 juta (S$184.5 juta) dengan TLDM pada April 2018 bagi melengkapkan enam LCS baharu.
Kementerian Luar Negera Norway dilaporkan berkata, pembatalan itu berkaitan peraturan kawalan eksport lebih ketat yang kini mengehadkan teknologi pertahanan canggih buatan Norway hanya kepada sekutu dan ‘rakan paling rapatnya’.
Berikutan itu, Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim pada Khamis lalu mengecam keputusan Norway menarik balik lesen eksport bagi NSM serta sistem pelancar berkaitan yang disifatkannya tidak boleh diterima.
Beliau berkata, Malaysia sudah memenuhi setiap kewajipan di bawah kontrak itu, yang merupakan instrumen serius yang tidak boleh diperlakukan dengan sewenang-wenangnya, sejak 2018.
Encik Khaled berkata, isu pembatalan itu menimbulkan krisis kepercayaan terhadap komitmen antarabangsa negara dan menjadi iktibar kepada Malaysia serta negara sekutu Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), menurut Free Malaysia Today.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.