Skip to main content

Dunia

Malaysia tunggu maklum balas Thailand sebelum pertimbang import udang

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia tunggu maklum balas Thailand sebelum pertimbang import udang

(Gambar: BERNAMA)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 08 Jun 2026 09:58PM
KUALA NERUS: Malaysia sedang menunggu maklum balas daripada pihak Thailand bagi soal selidik berkaitan import udang sebelum menilai tahap pematuhan aspek biosekuriti negara itu susulan  tindakan penggantungan sementara kemasukan lima spesies udang dari negara berkenaan.

Ketua Pengarah Perikanan Adnan Hussain berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sudah meminta Thailand membalas soal selidik yang dihantar melalui pejabat perwakilan pertanian Malaysia di Bangkok.

"Kita akan menilai sejauh mana perkara itu memenuhi keperluan dari aspek biosekuriti dalam negara," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Laut Sedunia 2026, di Taman Laut Pulau Redang, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, Encik Adnan berkata Malaysia turut memperkukuh instrumen biosekuriti dengan mengenakan kawalan terhadap import ikan siakap dari Thailand termasuk keperluan Sijil Analisis (CoA), susulan tindakan negara itu mengenakan sekatan serta pemeriksaan penuh terhadap ikan siakap Malaysia.

"Siakap kita juga dikenakan sekatan dan pemeriksaan penuh oleh pihak Thailand. Jadi kita juga mengukuhkan instrumen biosekuriti yang sama," katanya.

Dalam pada itu Encik Adnan berkata tiada tempoh khusus ditetapkan buat masa ini kepada Thailand untuk mengemukakan maklum balas tersebut.

"Kita tidak menetapkan tempoh tertentu tetapi menyasarkan akan menilai maklum balas itu selepas menerima laporan penuh daripada pihak Thailand," katanya.

Pada 16 Mei lepas, Malaysia memperketatkan kawalan import produk perikanan dari Thailand menerusi penguatkuasaan keperluan CoA bagi ikan siakap serta sekatan sementara terhadap lima spesies udang bermula 1 Jun lepas.

Sekatan sementara itu membabitkan spesies udang Penaeus esculentes, Fenneropenaeus merguiensis, Penaeus vannamei, Penaeus monodon dan Penaeus stylirostris.

Susulan itu, Thailand semalam dilaporkan bersedia membangkitkan isu penggantungan sementara import lima spesies udang dari negara itu oleh Malaysia di forum Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan ASEAN sekiranya rundingan dua hala gagal menyelesaikan isu berkenaan.
 
Sumber : Bernama/a
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita