Skip to main content

Dunia

Malaysia timbang ubah laluan kenderaan komersil bagi kurangkan kesesakan Tambak Johor

Kerajaan Malaysia sedang menimbangkan kesesuaian untuk mengubah laluan kenderaan komersil dari Stesen Woodlands ke Tuas sebagai usaha mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia timbang ubah laluan kenderaan komersil bagi kurangkan kesesakan Tambak Johor

Koswe. (Gambar: Petikan dari video)

Diterbitkan : 18 Nov 2024 05:51PM Dikemas Kini : 18 Nov 2024 05:52PM
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sedang menimbangkan kesesuaian untuk mengubah laluan kenderaan komersil dari Stesen Woodlands ke Tuas sebagai usaha mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat pada Isnin (18 Nov), namun belum ada sebarang ketetapan diputuskan.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan (MoT) akan mengetuai mesyuarat lanjut dengan pihak Singapura berhubung perkara berkenaan.

"Satu kajian akan dilakukan Malaysia yang diwakili oleh MoT dan juga Singapura untuk melihat aliran pergerakan kenderaan komersil bagi cadangan berkenaan serta mengkaji kesesuaian mengubah laluan kenderaan komersil," katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor, di Bukit Aman pada Isnin, lapor BH Online.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Fadillah Yusof dan turut dihadiri Menteri Komunikasi Malaysia Fahmi Fadzil dan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dalam pada itu, Encik Saifuddin Nasution berkata pihaknya juga sedang menimbangkan cadangan untuk menambah baik pas sedia ada seperti Pas De Rantau Nomad bagi membolehkan golongan karyawan dan tenaga mahir tinggal di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tetapi bekerja di Singapura.

"Itu juga antara cadangan yang dibincangkan tetapi setakat ini, belum ada perinciannya," katanya.

Beliau menjelaskan, sebanyak 52 inisiatif ditetapkan dalam usaha Kerajaan Malaysia menangani kesesakan di Tambak Johor.

Daripada jumlah itu, katanya lagi, 22 inisiatif yang mewakili 42 peratus telah dilaksanakan, 10 inisiatif (19 peratus) sedang dilaksanakan dan baki 20 inisiatif masih belum dilaksanakan.

"Kayu ukur hasil akhir inisiatif berkenaan ialah kesesakan di Tambak Johor dapat dikurangkan.

"Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor telah ditubuhkan pada 20 Jun 2019 bagi mencari jalan meredakan kesesakan di lokasi terbabit. Mesyuarat tadi dimaklumkan bahawa pengembara harian yang menggunakan laluan itu adalah seramai 400,000 sehari dengan trend peningkatan 17 peratus setiap tahun," katanya.

Sementara itu Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri Johor menyambut baik perbincangan dalam mesyuarat terbabit.

"Kita akan sentiasa berusaha sedaya upaya membantu Kerajaan Persekutuan menangani isu kesesakan di Tambak Johor," katanya seperti dinukil BH Online.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita