Malaysia tidak akan hantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar jika nyawa terancam
Malaysia tidak akan menghantar pulang 5,000 pelarian ke Myanmar sekiranya pihak berkuasa mendapati nyawa mereka terancam, kata jurucakap kerajaan pada Rabu (5 Ogos).
Pelarian Rohingya berkumpul di hadapan pejabat agensi pelarian PBB (UNHCR) selepas diusir dari tempat tinggal mereka pada 27 Julai 2026. (Gambar: REUTERS/Hasnoor Hussain)
Kenyataan itu dibuat sedang persiapan diteruskan bagi kemungkinan menghantar pulang para pelarian tersebut.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim minggu lalu mengumumkan bahawa Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 anggota masyarakat Rohingya.
Rancangan itu bagaimanapun menimbulkan keprihatinan dalam kalangan kumpulan hak asasi manusia.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Malaysia sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab tidak akan menghantar mereka pulang sekiranya mereka berdepan penganiayaan atau ancaman terhadap nyawa.
"Pemerintah junta di Myanmar bersedia menerima mereka, tetapi kita akan meneliti kriterianya. Jika sesuai, kita akan melaksanakan" rancangan penghantaran pulang itu, kata Encik Fahmi.
"Kita tidak boleh menghantar mereka pulang jika nyawa mereka terancam. Jadi terdapat beberapa perkara yang sedang diteliti oleh Kementerian Luar."
Pihak berkuasa Myanmar belum memberikan sebarang kenyataan terbuka mengenai rancangan tersebut.
LEBIH 126,000 PELARIAN ROHINGYA DI MALAYSIA
Malaysia menempatkan lebih 215,000 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar dengan agensi pelarian PBB (UNHCR).
Jumlah itu termasuk lebih 126,000 pelarian Rohingya dari Myanmar, yang merupakan masyarakat pelarian terbesar di Malaysia.
Rancangan penghantaran pulang itu diumumkan selepas pihak berkuasa Malaysia minggu lalu memberkas lebih 100 pelarian Rohingya yang berkumpul di luar pejabat UNHCR di Kuala Lumpur.
Mereka berdepan ancaman diusir dari sebuah penempatan tidak rasmi di Pulau Pinang.
Para pelarian kemudian dibebaskan selepas pihak berkuasa mengesahkan mereka mempunyai dokumen UNHCR yang sah.
Kementerian Dalam Negeri Malaysia sejak itu mula menjalankan proses dokumentasi dan saringan terhadap para pelarian menjelang rancangan penghantaran pulang tersebut.
Menurut laporan Bernama, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata 4,000 individu dalam tahanan imigresen yang dikenal pasti bagi proses itu akan menjalani saringan dan ditempatkan di sebuah depoh.
Langkah itu bertujuan memudahkan proses tersebut berbanding menempatkan mereka di 19 depoh berasingan.
KUMPULAN ROHINGYA GESA RANCANGAN DIHENTIKAN
Kumpulan utama yang memperjuangkan hak masyarakat Rohingya di Malaysia menggesa kerajaan Malaysia supaya menghentikan rancangan itu kerana bimbang nyawa mereka akan terancam jika dihantar pulang.
Malaysia menempatkan antara jumlah pelarian terbesar di Asia Tenggara tetapi bukan negara pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 dan tidak mengiktiraf status pelarian secara rasmi.
Ramai anggota masyarakat Rohingya, yang sebahagian besarnya beragama Islam, melarikan diri dari Myanmar semasa tindakan keras tentera pada 2017.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.