Malaysia tiada rancangan perkenalkan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akibat peningkatan jumlah kes COVID-19
Pekerja perubatan menerima vaksin COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 1 Mac 2021. (Gambar: Lim Huey Teng/REUTERS)
Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad berkata, buat masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil pendekatan memperkukuhkan pelan pengurusan COVID-19 melalui lima strategi utama, iaitu pemerkasaan awal; pemerkasaan komuniti melalui TRIIS; pemantauan kemudahan kesihatan; komunikasi risiko berkesan; dan pendigitalan sistem kesihatan melalui MySejahtera, lapor Astro Awani.
Selain itu, Anggota Parlimen Kuala Selangor itu berkata, buat masa ini tiada varian baharu dikesan melainkan penularan varian sedia ada iaitu Omicron, dan sub kepada varian Omicron.
“Saya harap akan ada clarity (penjelasan) dalam unjuran ke hadapan, bagaimana kami letakkan strategi KKM dalam menghadapi lonjakan COVID-19 atau surge, yang juga diperhatikan di negara jiran.
“Malaysia (memang) sedang menghadapi peningkatan kes yang mendadak, dan KKM harap situasi ini dapat dilalui tanpa perlu kita ulangi sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlaku pada awal pandemik COVID-19.
“Tidak mengulangi PKP kerana ada yang bertanya dalam ciapan laman X, apakah banyak kegusaran di situ, jadi saya jelaskan, tanpa perlu mengulangi sekatan seperti PKP,” katanya kepada sidang media khas di Putrajaya, sempena peningkatan kes COVID-19.
Mengenai situasi semasa, Dr Dzulkefly berkata, sebanyak 20,696 kes baharu dicatat bagi minggu epidemiologi (ME) ke-50, peningkatan sebanyak 62.2 peratus berbanding berbanding ME sebelumnya, dengan majoriti terdiri daripada kes kategori 1 dan 2.
Daripada keseluruhan kes baharu beliau berkata, 20,677 kes tempatan (97.1 peratus) melibatkan warga negara Malaysia dan 609 kes tempatan (2.9 peratus) bukan warga negara), manakala 19 kes import melibatkan 18 warga negara.
Sebanyak 151 kes memerlukan rawatan di unit jagaan rapi (ICU), dengan 96 kes memerlukan bantuan pernafasan, selain 28 kes kematian dicatatkan.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, setakat ini kemudahan KKM termasuk klinik kesihatan dan hospital bersedia untuk menghadapi peningkatan kes COVID-19, dan stok vaksin juga mencukupi bagi mereka yang masih belum mendapatkannya, serta mereka yang ingin mendapatkan dos penggalak.
“Dalam suasana endemicity, kita mengambil perhatian dalam pemantauan, melalui Heighten System Alert (HAT), pimpinan KKM akan memantau dan mengawal (penularan COVID-19)."
“Dan kita akan buat sama ada melalui kenyataan akhbar atau kami sendiri akan buat sidang akhbar seperti ini, dan keseluruhan memang betul ada peningkatan kes, keadaan semasa di Malaysia terkawal, dan tidak membebankan kemudahan kesihatan sedia ada,” tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.