Skip to main content

Dunia

Malaysia terima undangan Rusia sertai Sidang Puncak BRICS

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia terima undangan Rusia sertai Sidang Puncak BRICS

Presiden Rusia Vladimir Putin (kiri) dan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim. (Gambar: Anwar Ibrahim/Facebook)

Diterbitkan : 05 Sep 2024 11:50AM
KUALA LUMPUR: Malaysia menerima undangan Rusia untuk menyertai Sidang Puncak BRICS di Kazan, Rusia dari 22 hingga 24 Oktober, 2024, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, undangan yang disampaikan oleh Presiden Vladimir Putin sendiri semasa jamuan malam kerja merupakan bukti jelas mengenai kepentingan Malaysia kepada Rusia.

“Ini menandakan satu langkah penting ke arah matlamat akhir kita untuk menyertai kumpulan itu,” kata PM Anwar menerusi catatan di Facebooknya pada Rabu (4 Sep) mengenai lawatan dua hari ke Rusia untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) kesembilan.
BRICS adalah sebuah pertubuhan antara pemerintah yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Habsyah, dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

PM Anwar dijadual menyampaikan ucapan pada sesi pleno EEF pada Khamis.

PM Anwar berkata semasa perbincangan itu, beliau dan Encik Putin menyatakan komitmen masing-masing untuk memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Rusia.

“Ketika Malaysia terus memperluas ruang geoekonomi dan mempelbagaikan hubungan strategik, Rusia akan menjadi rakan utama yang berkongsi visi kita untuk pertumbuhan, kemakmuran dan pembangunan,” kata beliau.

PM Anwar berkata daripada kewangan Islam sehingga pertanian dan pendidikan, potensi untuk Malaysia dan Rusia saling memanfaatkan kepakaran demi manfaat bersama rakyat adalah amat besar.

“Apabila kita membina komitmen dan visi bersama yang dibincangkan semasa lawatan ini, saya optimistik bahawa asas yang diletakkan hari ini akan membawa kepada kerjasama yang bermakna antara Rusia dan Malaysia pada masa akan datang,” kata beliau.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita