Skip to main content

Dunia

Malaysia tegaskan peranan sebagai penghubung ASEAN, pupuk dialog dan persefahaman

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN akan terus memainkan peranan bagi menghubungkan rantau ini, memperkukuh dialog, kerjasama dan persefahaman bersama antara negara anggota.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia tegaskan peranan sebagai penghubung ASEAN, pupuk dialog dan persefahaman

Encik Mohamad Alamin di Forum Diplomasi Antalya 2025 (ADF 2025) yang diadakan di Turki. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 14 Apr 2025 08:03AM Dikemas Kini : 14 Apr 2025 08:04AM
PUTRAJAYA: Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN akan terus memainkan peranan bagi menghubungkan rantau ini, memperkukuh dialog, kerjasama dan persefahaman bersama antara negara anggota.

Menurut Kementerian Luar negara tersebut, Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin menyatakan perkara tersebut selaku ahli panel dalam sesi perbincangan sempena Forum Diplomasi Antalya 2025 (ADF 2025) yang diadakan di Antalya, Turki, baru-baru ini.

Kata Encik Mohamad, Malaysia komited untuk mengukuhkan kepusatan ASEAN dan memastikan ia kekal sebagai pemacu utama dalam hal ehwal serantau. Pada masa yang sama, ASEAN akan turut mendukung prinsip neutral dan berkecuali. 

Beliau juga menekankan komitmen Malaysia untuk berinteraksi secara konstruktif dengan kuasa-kuasa besar dunia, dengan mengamalkan pendekatan dasar luar yang seimbang dan berprinsip. Ini walaupun ia berdepan dengan ketegangan geopolitik yang kian meningkat.

“Dalam menangani ruang lingkup global yang sentiasa berkembang dan selalunya tidak menentu, Malaysia berhasrat untuk memperkukuh kesepaduan dalam kalangan negara anggota ASEAN serta meningkatkan daya tahan, kerelevanan dan kepekaan ASEAN terhadap cabaran serantau dan global,” menurut kenyataan itu. 

Timbalan menteri tersebut juga menekankan pendekatan dasar luar Malaysia yang seimbang dan berprinsip dalam melibatkan kuasa global utama, khususnya dalam suasana geopolitik yang kian mencabar.

Sesi itu turut menampilkan Timbalan Menteri Luar Turki, A Berris Ekinci.

Di luar ADF 2025, Encik Mohamad turut mengadakan pertemuan dengan beberapa rakan sejawat. Ini termasuk Setiausaha Negara di Kementerian Luar Kemboja, Min Khuon Phon Rattanak; Menteri Luar Somalia, Ali Mohamed Omar; dan Timbalan Menteri Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa Afrika Selatan, Thandi Moraka.

Beliau juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Yaman, Dr Shaya Mohsin Mohamed Zindani.

Perbincangan tertumpu kepada hubungan dua hala, kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, serta isu-isu serantau dan antarabangsa, khususnya situasi di Timur Tengah, menurut kenyataan tersebut.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita