Malaysia tangguh perlaksanaan VEP ke separuh kedua 2020
Malaysia menangguhkan pelaksanaan skim Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) untuk "sekurang-kurangnya enam bulan" sementara pihaknya meneliti cara memperbaiki proses pemasangan tag RFID bagi kenderaan Singapura.
KUALA LUMPUR: Malaysia menangguhkan pelaksanaan skim Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) untuk "sekurang-kurangnya enam bulan" sementara pihaknya meneliti cara memperbaiki proses pemasangan tag RFID bagi kenderaan Singapura.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Isnin (6 Jan) berkata kementeriannya akan menghasilkan sistem lebih baik untuk mempercepatkan pemasangan.
"(Kita tidak akan menangguhkan penguatkuasaan) selama-lamanya, namun kita akan melakarkan program yang mana pada separuh kedua tahun ini dapat kita laksanakan.
"Namun seperti yang saya katakan kita belum ada rangka waktu tetap sekarang. Sekurang-kurangnya lagi enam bulan, kita akan cuba selesaikan masalah ini," tambah beliau.
Pada 2007 Malaysia mengumumkan semua kenderaan berdaftar di negara asing yang memasuki negara itu akan memerlukan VEP, yang dikatakan bertujuan menangani sindiket pencurian dan pengklonan kereta serta menghalang kereta-kereta yang mempunyai saman tertunggak daripada meninggalkan negara itu.
Kementerian Pengangkutan Malaysia pada awalnya menyatakan VEP akan dilaksanakan bermula Oktober tahun lalu, namun pada September menangguhkan pelaksanaan semasa "waktu sibuk".
Para pengguna dari Singapura mengadu tentang masa menunggu yang lama, kurangnya slot temu janji dan pihak berkuasa Malaysia yang tidak banyak membantu dalam memperoleh tag RFID.
Encik Loke pada Oktober berkata satu mekanisme baru akan diperkenalkan untuk mempermudahkan semua kenderaan memasang tag.
Dalam satu lawatan ke stesen kereta api Kuala Lumpur pada Isnin, Encik Loke berkata hanya terdapat empat pusat pemasangan RFID bagi kenderaan Singapura memasang tag tersebut, lantas menyebabkan penangguhan.
Daripada 218,146 kenderaan Singapura yang mendaftar bagi VEP, hanya 61,253 sudah berjaya memasang tag RFID.
"Kami sedang mengusahakan mekanisme lebih baik dan ringkas untuk memudahkan kereta Singapura masuk dan memasang RFID," kata beliau.
Ditanya jika pihak kementerian akan mendapatkan khidmat luar bagi pemasangan tersebut, Encik Loke berkata: "Kami sedang mempertimbang pelbagai pilihan".
Kerajaan Malaysia tidak akan mula menguat kuasakan VEP sekarang agar tidak memburukkan lagi keadaan trafik di Koswe, kata beliau.
"Kami tahu terdapat masalah dalam mendapatkan kesemua kereta untuk mendaftar. Lantas kami akan menangguhnya buat sementara."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.