Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia sokong perjuangan Palestin, tidak pernah iktiraf kewujudan Israel: PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia sokong perjuangan Palestin, tidak pernah iktiraf kewujudan Israel: PM Anwar

(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

Diterbitkan : 16 Nov 2024 10:46AM Dikemas Kini : 16 Nov 2024 11:47AM
LIMA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Sabtu (16 Nov) menegaskan bahawa Malaysia tetap konsisten dengan pendiriannya terhadap isu Israel dan Palestin, menekankan bahawa Putrajaya tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel secara diplomatik.

Dalam satu sidang media bersama wartawan Malaysia yang diadakan selepas sesi perbincangan di Sidang Puncak APEC, Encik Anwar menjelaskan bahawa Malaysia tidak menghantar pegawai kedutaan atau menjalin hubungan diplomatik dengan Israel sebagai langkah protes terhadap penindasan ke atas rakyat Palestin.

“Apa yang perlu difahami adalah, kita tidak mengiktiraf Israel dari segi hubungan diplomatik dan tidak mengizinkan mereka untuk menjalankan perdagangan atau aktiviti rasmi di Malaysia,” kata Encik Anwar pada Jumaat (15 Nov), apabila diminta mengulas wawancara beliau mengenai konflik Israel-Palestin bersama Richard Quest daripada CNN.

Beliau berkata Malaysia tetap komited dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin, dan dalam banyak forum antarabangsa termasuk sidang dari Riyadh ke APEC kali ini, Malaysia tidak pernah berhenti menyuarakan penentangannya terhadap penjajahan dan kezaliman dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

"Dalam konteks sistem antarabangsa, ada yang menyebutkan de facto dan ada mengatakan de jure. Israel wujud sebagai sebuah negara di dalam konteks keanggotaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun kita tetap menolak pengiktirafan rasmi terhadap negara tersebut,” tegas beliau.

Sekali gus Encik Anwar menyangkal tuduhan dan dakwaan bahawa beliau atau kerajaan Malaysia bersekongkol dengan Israel: “Politik apa macam ini, perbodohkan rakyat, fitnah, atas nama Islam, ini disebut penunggang agama yang tak reti mengulas.

“Tuduhan seperti itu tidak berasas dan merupakan fitnah yang sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik sempit.

"Mereka yang menyebarkan fitnah ini tidak faham tentang konteks politik antarabangsa, atau mungkin mereka sengaja mencari alasan untuk memutarbelitkan fakta demi tujuan tertentu. Saya mahu rakyat faham bahawa Malaysia terus berpegang pada prinsip keadilan untuk Palestin,” kata Encik Anwar.

Perdana Menteri Malaysia itu berkata pada sidang APEC yang berlangsung di Lima, Peru, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang secara terbuka membangkitkan isu Palestin walaupun tema utama perbincangan adalah mengenai ekonomi dan perdagangan. 

Encik Anwar mengaitkan isu tersebut dengan prinsip perdagangan bebas yang seharusnya tidak boleh menafikan hak rakyat Palestin.

"Bagaimana kita boleh bercakap tentang ekonomi dan perdagangan bebas jika hak sebuah bangsa dinafikan? Ini adalah soal keadilan. Malaysia akan terus menyuarakan sokongan untuk rakyat Palestin di mana jua ia diperlukan,” kata Encik Anwar.

Beliau juga mengingatkan semua pihak untuk tidak menipu atau memfitnah hanya untuk kepentingan politik, sedangkan pernah berlaku kapal dan pesawat Israel berlabuh serta melalui ruang udara Malaysia pada pemerintahan kerajaan sebelum ini.

Encik Anwar menekankan bahawa beliau tidak akan membiarkan politik sempit dan fitnah menghalang negara dari terus memperjuangkan hak-hak asasi manusia dan menentang penjajahan di seluruh dunia, terutamanya dalam isu Palestin.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan