Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia sokong langkah tegas, hukuman berat Arab Saudi dalam isu Visa haji

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia sokong langkah tegas, hukuman berat Arab Saudi dalam isu Visa haji

(Gambar fail: FADEL SENNA / AFP)

Diterbitkan : 28 Aug 2024 08:00AM Dikemas Kini : 28 Aug 2024 08:18AM
KUALA LUMPUR: Malaysia menyokong langkah tegas dan hukuman berat yang dikenakan kerajaan Arab Saudi ke atas mereka yang melanggar peraturan dan arahan berkaitan isu visa haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia Mohd Na'im Mokhtar berkata langkah-langkah itu bertujuan memastikan keselamatan jemaah menunaikan haji dalam persekitaran yang selamat dan aman.

"Saya sekali lagi menekankan komitmen kami dalam mendidik bakal jemaah haji agar sentiasa mematuhi dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Saudi,” katanya pada sidang media bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah di Kuala Lumpur pada Selasa (27 Ogos).

Sidang media itu diadakan sempena lawatan rasmi Dr Tawfiq ke Malaysia bermula Isnin hingga Rabu (26-28 Ogos), bertujuan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Arab Saudi dan Malaysia.

Susulan itu, Encik Mohd Na’im menzahirkan harapan untuk meneruskan kerjasama saling menguntungkan dengan kerajaan Arab Saudi, khususnya dalam bidang berkaitan meningkatkan pengalaman haji dan umrah.

"Perbincangan berjalan dengan baik mengenai kolaborasi pada masa depan antara kedua-dua negara dan saya harap akan memberikan lebih banyak kemudahan dan keselesaan bagi jemaah kita dalam perjalanan menunaikan haji dan umrah mereka," katanya. 

Sementara itu, Dr Tawfiq berkata kerajaan Arab Saudi sedang giat memerangi skim promosi haji tidak rasmi dengan kerjasama kerajaan Malaysia. 

Beliau menekankan kepentingan menggunakan platform rasmi Malaysia dan Arab Saudi sahaja untuk perancangan haji dan umrah bagi memastikan pengalaman haji yang selamat.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas pengendalian rapi urusan jemaah haji dan skim latihan yang baik untuk jemaah haji. 

“Komitmen anda untuk memastikan ziarah yang lancar dan bermakna untuk warga anda sejajar dengan dedikasi kami untuk memberikan pengalaman terbaik kepada semua pengunjung ke tanah suci,” katanya.

Selain itu, Dr Tawfiq berkata kedua-dua negara telahpun menubuhkan pasukan petugas bersama dengan dua objektif utama iaitu untuk melihat kemungkinan meluaskan Inisiatif Jalan Makkah kepada jemaah umrah Malaysia dan untuk mengkaji potensi mengaplikasikan model perniagaan Tabung Haji bagi pengurusan haji di negara lain.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan