Skip to main content

Dunia

Malaysia, SG perlu bekerjasama dalam bidang baharu seperti kemampanan & perubahan iklim, kata Pesuruhjaya Tinggi SG

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia, SG perlu bekerjasama dalam bidang baharu seperti kemampanan & perubahan iklim, kata Pesuruhjaya Tinggi SG

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura harus bekerjasama dalam bidang baharu seperti kemampanan, perubahan iklim dan ekonomi digital, melangkaui bidang kerjasama sedia ada, kata Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.

Encik Menon menegaskan bahawa Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara kedua-dua negara semasa lawatan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim ke negara itu pada Januari, yang memberi tumpuan kepada ekonomi digital, ekonomi hijau dan keselamatan siber, merupakan permulaan yang positif.

“Singapura juga berminat untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan Malaysia, dan MOU telah ditandatangani antara NParks dan Majlis Biodiversiti Pahang mengenai Kerjasama dalam Pemuliharaan Flora dan Hidupan Liar pada Jun tahun ini,” katanya dalam ucapannya pada majlis sambutan Hari Kebangsaan ke-58 Singapura pada Rabu (16 Ogos).

Encik Menon berkata agensi Singapura dan Malaysia telah bekerjasama untuk menambah baik aliran keluar masuk rakyat dengan rakyat antara dua negara, termasuk mempercepatkan proses imigresen di pusat pemeriksaan Johor-Singapura.

“Terdapat juga kemajuan yang baik pada Sistem Kereta Api Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, yang dijangka siap pada 2026,” tambahnya.
Encik Menon berkata sambutan Hari Kebangsaan ke-58 Singapura bertemakan “Bersama” menggariskan hubungan rakyat dengan rakyat yang kukuh antara Singapura dan Malaysia dan menekankan bahawa kedua-dua negara akan bekerjasama untuk menangani cabaran masa depan.

“Bersama” adalah penerangan yang tepat tentang hubungan istimewa dan sejarah antara Singapura dan Malaysia, dan bagaimana masa depan kita kekal terikat dengan tidak dapat diubah,” tambahnya.

Majlis itu, dihadiri lebih 1,200 tetamu termasuk warga Singapura dan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia, serta sektor swasta dan bukan kerajaan.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita