Skip to main content

Dunia

Malaysia, SG perkukuh kerjasama industri Penyelesaian Pertikaian Alternatif

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri Malaysia (JPM) bersama Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia) (AIAC) terus memperkukuh kerjasama strategik Malaysia dengan Singapura dalam industri Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) bagi memperkasakan penyelesaian pertikaian rentas sempadan serta pembangunan ekosistem ADR serantau.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia, SG perkukuh kerjasama industri Penyelesaian Pertikaian Alternatif

Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia) (AIAC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC) dan Pusat Perantaraan Antarabangsa Singapura (SIMC). (Gambar: Facebook/BHEUU)

Diterbitkan : 04 Jun 2026 07:42AM
PUTRAJAYA: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri Malaysia (JPM) bersama Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia) (AIAC) terus memperkukuh kerjasama strategik Malaysia dengan Singapura dalam industri Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) bagi memperkasakan penyelesaian pertikaian rentas sempadan serta pembangunan ekosistem ADR serantau.

BHEUU dalam kenyataan pada Rabu (3 Jun) memaklumkan kerjasama itu menyusuli siri perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Malaysia, Azalina Othman Said dan Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri) Singapura Edwin Tong sejak Forum Undang-Undang ASEAN 2025 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Undang-Undang Komanwel 2026.

"Dalam pertemuan terbaharu, kedua-dua pihak membincangkan pengukuhan kerangka perantaraan, penyelesaian pertikaian komersial rentas sempadan, pembangunan kapasiti profesional serta perkongsian amalan terbaik dalam industri ADR.

"Perbincangan turut merangkumi usaha Malaysia membangunkan standard akreditasi perantara yang lebih tersusun dan seragam dengan mengambil kira pengalaman serta amalan terbaik Singapura," menurut kenyataan itu.

BHEUU memaklumkan kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai ratifikasi Konvensyen Singapura dan usaha mempromosikan perantaraan di peringkat antarabangsa.

Sebagai langkah memperkukuh kerjasama institusi, kenyataan itu memaklumkan AIAC memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC) dan Pusat Perantaraan Antarabangsa Singapura (SIMC), yang disaksikan oleh kedua-dua menteri.

"MoU ini akan memperluas kerjasama dalam promosi timbang tara antarabangsa dan perantaraan, termasuk penganjuran program serta persidangan profesional di kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.

BHEUU memaklumkan delegasi Malaysia turut mengadakan sesi libat urus dengan Institut Perantaraan Antarabangsa Singapura (SIMI) dan Unit Perantaraan Komuniti (CMU) bagi meneliti pendekatan terbaik dalam pentauliahan profesional, pembangunan kompetensi perantara serta pemerkasaan ekosistem perantaraan.

Selain itu, kedua-dua pihak bersetuju secara prinsip untuk meneroka penganjuran bersama forum ADR di Kuala Lumpur dan Singapura sebagai platform kerjasama antara penggubal dasar, institusi ADR dan pemain industri serantau.

Menurut kenyataan itu, Kerajaan MADANI Malaysia kekal komited memperkukuh ekosistem penyelesaian pertikaian negara melalui pendekatan ADR yang moden, efektif dan mesra pelabur selaras dengan agenda reformasi institusi serta usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab ADR terkemuka di Asia.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita